Dr Zamil pengetuk pintu berpengalaman

Oleh RAFIZI RAMLI

Saya jarang sangat komen pasal kawan-kawan politik sekarang. Tapi ada kawan yang hati budinya baik melangkaui politik. Dia kawan bukan sebab dia orang politik tapi dia ada hati yang baik sebagai insan.

Semasa saya mula tingkatkan berkempen di Johor dari awal 2015 dulu, tidak ramai yang yakin boleh menang di kerusi-kerusi kubu Umno seperti Johor Baharu dan Pasir Gudang.

Johor Baharu penyandangnya adalah Tan Sri Shahrir Samad yang tidak pernah kalah sejak saya belum sekolah. Hanya Akmal Nasir yang bersungguh-sungguh mahu melawan kerana itu kampungnya.

Di Parlimen sebelah ialah kerusi Pasir Gudang yang bakal ditandingi Dato’ Seri Khaled Nordin iaitu Menteri Besar ketika itu.

Kedua-duanya kerusi yang sangat sukar dan menggerunkan, bukan kerusi yang sudah menang dua penggal.

Antara sukarelawan yang tidak pernah mengeluh ialah Dr Zamil Najwah. Dia seorang doktor yang pernah bertugas di Johor Baharu dan ada klinik sendiri di Pasir Gudang. Seorang ahli profesional yang aktif membantu masyarakat melalui NGO.

Setiap kali saya turun, dia antara yang paling banyak mengetuk pintu pengundi dan merayu undi. Saban hari, saban minggu, saban bulan.

Sedangkan bukan dia yang bertanding dan saya tidak pernah dengar sekali pun dia melahirkan minat untuk bertanding.

Dia gembira luangkan sedikit waktu untuk membantu ke arah perubahan. Menang kalah tidak begitu penting untuknya, jalan politik hanyalah satu jalan untuk berkhidmat selain dari jalan NGO dan kliniknya.

Menjelang PRU 2018, dia diminta membantu di Parlimen Pengerang yang memang sah akan kalah. Dia tidak mengeluh, tidak mengungkit masa dan tenaganya menjadi sukarelawan di Pasir Gudang membantu calon Pak Hassan Karim pada ketika itu.

Akhirnya Pak Hassan dan Akmal menang. Kemenangan di kerusi-kerusi kubu Umno ini yang memungkinkan bertukarnya kerajaan dalam tahun 2018.

Dr Zamil kalah di kerusi yang ditandingi di Tanjung Surat. Pun dia tidak mengeluh, tidak lari. Dia ketuk pintu pengundi di Tanjung Surat pula.

Sebab itu, walaupun mungkin mengguris hati sebahagian sahabat di Johor Baharu, saya suarakan pandangan sebaiknya Dr Zamil diberi peluang berkhidmat di Larkin. Dia tidak minta malah dia tidak tahu pun.

Seperti mana rekod khidmatnya seperti ini, bila diminta berkhidmat, dia terus buat kerja. Menang kalah belakang kira. Ini kerusi kuat Umno dan sentimen Melayu yang pekat.

Tapi mengajak kepada perubahan itu memakan masa yang lama. Ia memerlukan orang yang hatinya baik dan ikhlas. Orang yang ada niat baik disertakan dengan kecerdikan akal supaya bila diberi peluang menjadi pemimpin, ada buah fikiran untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Saya rasa sejuk hati kerana orang seperti Dr Zamil ini ditampilkan dan diberi peluang. Memang susah untuk menang tetapi usaha ke arah merubah kerajaan memang memakan masa bertahun-tahun.

Dr Zamil ini orang yang penyabar yang akan terus bekerja bertahun-tahun. Kalau tidak kali ini, In Sha Allah pilihan raya yang akan datang. Kalau bukan dia yang diberi peluang berkhidmat, In Sha Allah tokoh lain di masa hadapan yang mendapat peluang itu dari hasil kerja beliau.

Terus ketuk pintu Dr Zamil, saudara seorang pengetuk pintu yang berpengalaman.