Dr Zulkifli Al-Bakri terkejut dapat jam Rolex mewah dari Raja Arab Saudi, nekad jual semula untuk Palestin

Dr Zulkifli Mohamd Al-Bakri teringat satu surah yang memberi maksud “Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui.” (Surah Ali Imran: 92).

Mengingatkan surah tersebut beliau nekad untuk menjual satu hadiah yang diberikan Raja Arab Saudi pada 2017, hadiah yang cukup mahal dan sangat bererti baginya.

Hadiah itu adalah jam tangan Rolex dan beliau memaklumkan ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan ini dengan harga tapak RM40,000. Kenaikan bermula RM100 ke atas.

Menurut beliau, hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana.

Pada Februari 2017 apabila beliau mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.

Zulkilli diminta oleh Kerajaan Malaysia – selaku Mufti Wilayah Persekutuan – untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz hafizahullahu ta’ala dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.

Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St. Regis Hotel, beliau dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.

“Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya. Lantas saya minta pegawai saya Dr. Aizam untuk mengambilnya.

“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri.

“Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur,” katanya.

Justeru itu setelah beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi.

Di sana, barulah beliau membukanya dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi.

“Menjunjung kasih DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz atas derma kurnia yang amat bermakna ini. Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.

“Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.

“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana.

“Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen,”kata beliau.

Baca juga: Simple je buat lempeng gebu cicah sardin, itu pun sampai orang share 2.5k, rupannya pembuat ini…