“Drama Queen, kuat berlakon dan tipu rakyat”, TMJ tempelak Syed Saddiq

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melabel Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ‘drama queen’ selepas Ahli Parlimen Muar itu memohon sumbangan ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin berjumlah RM330,000.

Tunku Ismail memuat naik komen itu di akaun Instagramnya merujuk laporan portal media berkaitan Syed Saddiq memohon simpati bagi membayar ikat jamin sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Menurut komen Tunku Ismail itu, baginda bersimpati dengan rakyat yang dikatakan sentiasa menjadi mangsa permainan politik.

“Drama queen. Kesian Rakyat yang sentiasa jadi mangsa permainan politik. Berlakon dan menipu rakyat semata-mata nak undi dan kuasa.

“Hampir semua tak boleh percaya. Semoga Allah SWT peliharakan rakyat dan negara,” titah Tunku Ismail dalam Instagram miliknya malam tadi.

Terdahulu, Syed Saddiq dalam sesi siaran langsung memohon sumbangan ramai bagi melunaskan ikat jamin serta membiayai kos guaman melibatkan kes mahkamah membabitkan dirinya.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, dia mempunyai tempoh sehingga Selasa ini untuk menjelaskan ikat jamin berkenaan.

“Sebagaimana yang anda tahu, saya tak datang daripada keluarga berada, keluarga dinasti, ibu ayah bukan pemimpin politik atau punya perniagaan yang kaya.

“Dan anda juga tahu saya menghabiskan tiga bulan gaji saya untuk membantu mereka yang terkesan kerana Covid-19 di Muar. Jumlah itu agak besar tapi saya hormati mahkamah dan hakim. Jadi saya benar-benar perlukan pertolongan anda.

“Walaupun sumbangan berjumlah 50 sen atau RM1 tapi kalau ribuan yang menyumbang, kita akan capai jumlah berkenaan dan saya mampu membayar kepada mahkamah. Jadi saya benar-benar perlukan bantuan anda,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq berdepan tuduhan pecah amanah jenayah melibatkan wang berjumlah RM1 juta daripada dana milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagaimana pun beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

sumber : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/tmj-label-syed-saddiq-drama-queen/