Sehari selepas mengeluarkan lagu baru, Datuk Seri Vida ditegur Pengarah dan penerbit terkenal, Shahrulezad Mohammeddin untuk tidak menunggang agama bagi melariskan muzik video dia.
Baginya, Vida dilihat seolah-olah cuba memancing simpati dan menggula-gulakan orang ramai untuk menyokong video keluarannya atas nama agama.
Justeru itu Shahrulezad dalam hantaran di Facebook menempelak tindakan Vida dan memberi amaran agar Vida tidak menunggang agama apabila mengumumkan bahawa muzik video yang menelan kos RM400,000 itu dilakukan untuk menyiapkan pusat tahfiz miliknya.
“Datuk dengan rendah diri saya merayu. Tolong jangan tunggang agama kita Datukm tolonglah. Duit RM400,000 buat muzik video itu lagi bagus datuk sedekahkan kat tahfiz anak yatim dari buat MV mahal-mahal macam tu.
“…Lepastu datuk pancing kami semua sokong datuk dengan gula-gulakan kami strategi pemasaran yang murah. Datuk nak pujuk orang tengok MV Datuk dengan modal kisah peribadi tak pe. Buat lah.
“Tapi jangan buat cara lacurkan agama macam ni ye. Agama ni milik kita semua bukan milik Datuk sorang. Please la,” katanya.
Terdahulu, Vida memberitahu bahawa muzik video lagu Ku Ikhlaskan nyanyiannya itu adalah salah satu usahanya untuk mengumpul dana bagi menyiapkan pusat tahfiz miliknya iaitu Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh, Perak.
Dia berkata, dia mahu mengajak orang ramai dan peminat untuk sama-sama mngumpul saham akhirat.
Sementara itu mengulas lanjut di Fb, Shahrulezad menambah bahawa beliau terpaksa tegur kerana ia terlalu melampau.
“Saya jadi triggered bila seorang bekas guru boleh tergamak membodohkan kami. Dan ramai yang jadi bodoh kerana pengaruh Datuk,” katanya lagi.