Dua adun PN di Melaka tetap sokong BN, kata Faizal Azumu

Berita dipetik dari FMT

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang menang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka tetap memberi sokongan terhadap kerajaan negeri, kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, dua wakil rakyat itu Mohd Aleef Yusof mewakili Sungai Udang dan Mohd Yadzil Yaakub di Bemban kekal sebagai ADUN biasa.

Katanya, walaupun tidak berada dalam barisan kerajaan, kedua-dua wakil rakyat itu akan tetap memberi sokongan dan suara khususnya dalam pelaksanaan dasar kerajaan negeri.

“Mereka ADUN biasa, tetapi sebagai wakil rakyat mereka ada tanggungjawab untuk bersuara bagi rakyat Melaka.

“Dasar yang baik, perlu beri sokongan, juga bersuara jika ada perkara tidak baik yang burukkan kerajaan negeri,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Faizal turut menasihatkan kedua-dua ADUN berkenaan melunaskan amanah dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, PN memberi jaminan untuk terus memberikan kerjasama sebaiknya kepada kerajaan baharu Melaka diterajui Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat.

Katanya, pada masa ini, semua ADUN yang menang pada pilihan raya itu perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding perbalahan politik.

“Tak perlu bergaduh dengan sesiapa. Hentikan politiking. Kerajaan Melaka telah ditubuhkan, keputusan juga sudah dibuat.

“Kita boleh beri kerjasama demi kepentingan rakyat, itu yang lebih penting,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua ADUN Bersatu itu dikatakan tidak bersedia untuk duduk di kerusi pembangkang bersama lima lagi ADUN Pakatan Harapan (PH) selepas BN menang PRN Melaka.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, yang mengulas perkara itu berkata, tidak ada keperluan untuk membawa bersama dua wakil rakyat PN dalam pembentukan kerajaan Melaka.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/28/2-adun-pn-kekal-sokong-kerajaan-bn-di-melaka-kata-peja/