Tinggal tulang kaki dan tulang belakang milik ibu tunggal dua anak, Bella atau Mila Sharmila Samsusah, masih hilang.
Kakak Bella, Norhisham dan keluarganya berharap kedua-dua tulang itu dijumpai secepat mungkin.
“Satukanlah anggota arwah dan lengkapkan seperti mana yang lain dan saya juga sentiasa mendoakan supaya keadilan untuk arwah Bella dapat ditegakkan.
“Sesungguhnya kami semua sangat rindukan Bella…. rindu yang paling dalam dan tiada penghujungnya.” katanya, dipetik BH.
Ini memandangkan enam ketul tulang yang ditemui dekat rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat sah milik Bella.
Pengesahan itu akhirnya diketahui selepas sebulan dianalisis di Jabatan Kimia.
Norhisham, 36, memberitahu perkara itu selepas keluarganya menerima laporan forensik daripada Hospital Sultan Ismail (HSI) malam tadi (29 Mac 2024).
Kesemua tulang itu ditemui pemandu jengkaut berhampiran lokasi penemuan rangka Bella yang mati dibunuh teman lelakinya pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu.
Norhisham akan membuat tuntutan tulang terbabit di HSI hari ini dan akan dikebumikan di pusara Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat.
Kes pembunuhan Bella menggemparkan negara dengan rangka miliknya tidak sempurna ditemui di rumah sewa terbiar selepas 36 hari kehilangannya.
Wanita berkenaan dilaporkan hilang pada malam 14 Disember tahun lalu.
Dia kemudiannya dipercayai dibunuh teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang kini sedang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.