Dua kali hantar surat berhenti kerja, lelaki terkejut bos datang rumah bayar pampasan lepas 14 tahun kerja

Siapa sahaja tidak mahu berbakti dengan menjaga ibu atau bapa sakit, malah ada yang berhenti kerja demi memberikan sepenuh perhatian mereka.

Seorang lelaki tampil berkongsi kisahnya yang sanggup berhenti kerja demi menjaga ibunya yang tidak boleh berjalan.

Luahan tersebut adalah daripada pemanggil di stesen radio Kool FM, kisah Azaly meruntun jiwa pendengar dan penyampai radio.

Dua kali hantar surat berhenti kerja

Lelaki itu menjelaskan dia yang sudah 14 tahun bekerja di syarikat tersebut tidak mahu membebankan majikan maka dia memilih untuk berhenti kerja.

Namun majikan memintanya untuk mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan terlebih dahulu.

“Saya buat keputusan untuk hantar surat berhenti tapi bos datang rumah dan tengok sendiri. Dia kata tak apa jangan berhenti kerja tapi ambil cuti tanpa gaji selama enam bulan.

“Saya ingat mak akan sembuh tapi mak tetap tak boleh berjalan ataupun bertatih pun. Malangnya mak masih lagi tak boleh terima dia punya keadaan macam tu dengan abah macam tu.

“Jadi saya hantar lagi surat resign sebab saya tak nak company saya bermasalah kerana saya.

“Bos bagi lagi tiga bulan sebab saya dah 14 tahun dah kerja kat situ. Saya mesej dekat bos saya bos saya datang dengan dia punya pembantu dia bagi pampasan dekat saya,” ujarnya.

Tak kahwin lagi

Tambahnya dia juga adalah satu-satunya dalam adik beradik yang masih belum berkahwin dan meletakkan fokus kepada ibu.

Salah seorang penyampai radio segmen tersebut, Datuk Aznil Nawawi menyatakan mungkin itu adalah cara Allah SWT memberikan lelaki tersebut syurga.

“Tahniah sebab awak (Azaly) tak pernah merungut atau salahkan mak awak atas apa yang terjadi.

“Saya fikir begini, mengapa Allah SWT tak kahwinkan kau, itulah jawapan paling tepat, sebab Allah SWT nak bagi kau syurga,” balas Aznil kepada pemanggil tersebut.

Rata-rata netizen turut bersimpati dan mendoakan kekuatan Azaly untuk tetap menjaga si ibu hingga sihat semula.

Baca juga: “Bila aku tahu dia suami orang, aku terus bagitahu isteri dia pasal kami, rupanya aku bukan kes pertama”