Duit RM60,000 bertebaran di Jalan Kota Bharu, ini rupanya identiti sebenar lelaki ‘pemurah’ ini

Baru-baru ini tular di laman sosial twitter seorang lelaki yang didakwa terlupa sehingga mengakibatkannya hilang puluhan ribu ringgit.

Wan Ibrahim Wan Leh, 24 meletakkan wang tunai di atas but keretanya untuk dihantar ke bank bagi tujuan simpanan.

Namun ia terjatuh dan bertebaran di atas Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, pada 11 pagi semalam.

Ibu lelaki itu, Che Safiah Abdullah, 63 menjelaskan anak lelakinya itu mahu membersihkan bahagian dalam kenderaan itu sebelum terlupa mengambil semua wangnya di atas but.

“Selepas kejadian itu, Wan Ibrahim mengalami kemurungan dan hanya berkurung di dalam bilik, memandangkan wang itu dikumpulnya sejak empat tahun lalu hasil pendapatan sebagai tukang gunting di bandar Jertih.

“Lebih menyedihkan Wan Ibrahim, wang itu untuk membeli kereta sendiri sebab kereta yang digunakan sekarang milik kakaknya dan dia mahu jelaskan hutang dan upah haji arwah bapa kandung dan bapa tirinya,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Lak Lok di sini, hari ini.

Wan Ibrahim hanya menyedari kejadian yang berlaku selepas berada di bandar Jertih 10 minit sebelum bertindak berpatah balik ke tempat kejadian di Kampung Lak Lok.

“Setiba di situ beberapa orang awam yang membantu memungut wang yang berterabur di atas jalan raya, menyerahkan balik wang kepada anak saya berjumlah sekitar RM30,000, namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil wang itu.

“Anak saya kemudian pergi membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut dan kami berharap agar mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada keluarga saya,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai baki wang tersebut boleh menghubunginya di talian 013-5395538.

Baca juga: Video KSN berucap di masjid selepas dilantik tular, “Nama saya tak ada pun sebenarnya..”