Siapa sangka dari seorang gelandangan yang dahulunya tidur pun di tepi longkang sahaja, kini berjaya mengubah nasib menjadi usahawan berjaya.
Kisah kejayaan itu dikongsi wanita muda berusia 37 tahun, yang menceritakan semula detik getir ketika dia menjadi gelandangan di Lorong Chow Kit Kuala Lumpur, dan hanya bekerja mengambil upah membasuh pinggan di kedai makan untuk menampung kos sehari-harinya.
Memetik laporan Bernama, Sharifah kini adalah ikon Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang telah membawa perniagaan ikan pekasam sehingga ke pasaran luar negara.
AIM ditubuh bagi menawarkan skim pembiayaan kredit mikro berpenyeliaan rapi kepada golongan miskin untuk mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki sebagai usaha menambah pendapatan keluarga.
“Ketika itu, saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur kononnya bagi mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan kepada keluarga di Kamunting.
“Namun nasib tidak menyebelahi, setahun saya merempat di tepi longkang, pernah juga dalam keadaan sarat hamil bersama bekas suami, berbekalkan harapan dan simpati untuk mendapatkan makanan dan minuman harian kami.
“Saya ambil upah bekerja di kedai makan, dan kehidupan kami ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sehinggakan perlu menghantar anak di sebuah yayasan sementara saya bekerja,” katanya ketika ditemui Bernama di kilang pemprosesan pekasamnya, yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari Tol Jelapang.
Menurutnya, dia kembali ke kampung halamannya di Kamunting bermodalkan duit mengambil upah mencuci pinggan, selain ditawarkan bekerja di sebuah hospital swasta di bahagian akaun, namun beliau mengambil keputusan untuk berniaga di tepi jalan menjual laksa, bihun sup dan minuman.
“Pada masa sama juga, seminggu sekali saya akan ke Plaza Chow Kit, Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk mendapatkan stok barangan seperti beg, alat solek dan macam-macam lagi untuk dijual di Taiping.
“Apabila kerap ulang alik menaiki bas bawa barang niaga, saya dipertemukan dengan seorang Sahabat AIM yang menjadi penjaga tandas berbayar di Stesen Bas Kamunting. Saya kemudian menyertai program ini dan ia mengubah hidup saya sepenuhnya,” katanya yang dikenali dengan panggilan mesra ‘Kak Sha’.
Selain itu Sharifah menceritakan bahawa permulaan modal RM2,000 dari AIM digunakan untuk membeli barangan katering, dan perniagaannya mula berkembang sehingga dikenali hingga ke hari ini, malah perniagaan pekasamnya pernah mencecah jualan sehingga dua tan sebulan, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.
Dia berkata, modus operandi kejayaan perniagaannya adalah dengan memanfaatkan penjualan produknya di media sosial seperti Facebook Page dan Tiktok sehingga mampu memiliki agen dan stokis di seluruh negeri.
“Saya tidak risau sekarang kerana saya mempunyai agen dan stokis yang sangat berdedikasi membantu mengubah hidup masing-masing hampir di seluruh negeri, tidak lupa juga stokis saya yang berada di luar negara – di Australia dan Singapura.
“Tanpa pekerja saya di kilang ini juga, saya tidak mampu menyelesaikannya seorang diri. Berbekalkan kira-kira lapan pekerja di sini yang berumur lingkungan 17 hingga 45 tahun, saya dapat membahagikan masa untuk perniagaan saya yang lain iaitu restoran dan katering,” katanya.