Dulu Nazri kecam Najib, sekarang kata membazir tak guna kepakaran Najib takbir negara

Adalah menjadi satu ‘pembaziran’ jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memanfaatkan kepakaran Datuk Seri Najib Razak dengan memberi peranan kepada bekas Perdana Menteri itu sebagai penasihat ekonomi kerajaan.

Perkara itu disyorkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

Menurut Nazri, sekiranya Najib dinamakan sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri ia merupakan satu langkah bijak memandangkan Ahli Parlimen Pekan berkenaan memiliki pengalaman luas sebagai Perdana Menteri sejak April 2009 hingga Mei 2018.

Ujar beliau tempoh pentadbiran 9 tahun Najib itu melonjak pelbagai pencapaian baru negara.

Cadangan Nazri ini muncul susulan cakap-cakap politik yang meramalkan Najib bakal diberi jawatan Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

“Saya tidak perasan berita itu, tetapi sejujurnya saya setuju. Kita harus memanfaatkan pengalaman beliau sebagai Perdana Menteri selama 9 tahun, malah sepanjang tempoh itu Najib juga bertindak sebagai Menteri Kewangan,” kata Nazri memetik The Vibes pada Khamis.

“Orang harus ingat bahawa semasa pemerintahannya, ekonomi Malaysia berkembang pesat. Jadi, bagi saya, saya rasa tidak ada masalah untuk melantiknya.

“Juga, ini bukan jawatan eksekutif, hanya penasihat. Lagipun, Najib sudah mempunyai kelebihan sebagai bekas perdana menteri. Jika lantikan ini berlaku ia untuk memanfaatkan pengalamannya.

“Adalah menjadi satu bentuk pembaziran besar jika Najib tidak diberi peranan itu,” kata Nazri lagi.

Nazri mengatakan bahawa walaupun langkah itu akan menjadi tidak popular di kalangan rakyat jika benar, tetapi itu adalah yang terbaik untuk negara, terutama apabila Perdana Menteri sudah dibebani dengan tanggungjawab menangani situasi pandemik COVID-19.

“Tentunya, Ismail Sabri memerlukan semua sokongan dan nasihat daripada orang yang berpengalaman. Rakyat harus memahami kedudukannya.

“Bagi rakyat, walaupun saya memahami sentimen mereka, yang penting adalah hasil akhirnya,” katanya, sambil menambah dia tidak melihat kes mahkamah Najib yang sedang berjalan sebagai isu, kerana pelantikannya yang dikhabarkan bukanlah sesuatu yang eksekutif,” ujar Nazri.

sumber : https://suara.tv/09/09/2021/membazir-jika-tak-manfaatkan-pengalaman-najib-nazri-sokong-lantikan-penasihat-ekonomi-pm/