“DULU barua (DAP), sekarang bermaruah,” demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengulas mengenai keputusannya bersama tiga lagi wakil rakyat kerajaan menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu berkata tidak timbul persoalan untuk beliau kembali kepada DAP serta Pakatan Harapan (PH) yang ditinggalkannya untuk membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Sulaiman, Mei tahun lalu.
Norhizam yang juga Adun Bebas berkata keputusan menarik sokongan kepada Sulaiman dilakukan secara bermaruah demi membawa suara rakyat.
“Awak (media) kena faham kami berempat fighter, kita membakar diri berjuang untuk rakyat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Untuk rekod, ketika meninggalkan DAP tahun lalu, Norhizam dilaporkan mengaku beliau hanya menjadi barua dalam parti tersebut.
Sementara itu Norhizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri Melaka itu berkata beliau tetap wakil rakyat Bebas dan tidak perlu kembali menyertai DAP mahupun PH.
“Saya tetap bebas, bebas bersuara, bebas bercakap,” katanya sambil menyatakan beliau tidak pernah ada masalah dengan PH walaupun telah meninggalkan gabungan itu tahun lalu, menyebabkan kerajaan negeri terdahulu tumbang.
Ditanya bagaimana reaksi pengundi di kawasannya berdasarkan pendirian terbaharu beliau ketika ini, Norhizam berkata beliau membawa suara serta keluhan rakyat dan sebab itu kepemimpinan kerajaan sedia ada perlu diganti.
“Kamu buka Facebook, tengok apa komen rakyat… ini (tindakan diambil) suara rakyat, awak boleh tengok satu persatu, saya jadi wakil rakyat dan exco, kalau saya tak boleh bawa suara rakyat, keluhan rakyat (bagaimana?).
“Itu sebab kami berempat berada di sini, kami bukan perjuang diri sendiri, saya tetap jadi exco kalau tak berada di sini (menarik sokongan).
“Kami bebas, siapa sudi ambil kita, asal perjuangan kita betul, tepat, kita ikut… tiada masalah, kita tak mahu lari dari perjuangan,” katanya sambil melahirkan keyakinan pengundi akan tetap menyokongnya jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.
Beliau juga mempersoalkan tindak-tanduk Umno yang mahu PRN diadakan di Melaka, tetapi tidak berani mengadakan pemilihan parti atas alasan pandemik Covid-19.
“Yang Umno sibuk-sibuk nak bubar, nak PRN kenapa? Buat pemilihan parti sendiri tak berani, beri alasan pandemik Covid, tapi desak PRN diadakan di Melaka boleh pula, saya tak faham mana kebijaksanaan (Umno),” katanya lagi. – Malaysiapost
sumber : https://malaysiapost.com.my/2021/10/05/dulu-barua-sekarang-bermaruah-norhizam/