Dulu selamba pagi hari rompak diesel subsidi, sekarang penyeludup menggelupur payah dah nak dapat bekalan

Diesel subsidi sebelum ini bebas dirompak rakyat Thailand hingga pernah dilapor seorang penyeludup setiap pagi di Rantau Panjang mencuri sebanyak 90 liter ke dalam tangki yang telah diubah suai.

Namun, sejak 10 Jun lalu, kerajaan MADANI yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan tepat dengan melaksanakan subsidi bersasar dengan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter.

Kerajaan tegas mahu memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

Hasilnya amat positif dengan menyelamatkan hasil bahan api negara apabila peniaga di selatan Thailand yang selama ini menyeludup dan menjual diesel bersubsidi mengakui sukar untuk mendapatkan bekalan barangan subsidi itu.

Kebanyakan peniaga yang mengendalikan gerai di sepanjang jalan utama di bandar Sungai Golok, Narathiwat dan wilayah Yala mendakwa sukar mendapatkan diesel seludup dari Malaysia sejak 10 Jun lalu.

“Langkah kerajaan Malaysia menyasarkann subsidi diesel menyebabkan harga bahan api di negara itu meningkat daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter.

“Jika sebelum ini, kami menjual diesel Malaysia antara RM3.20 hingga RM3.45 seliter, tetapi kini kami terpaksa menaikkan sedikit harganya.

“Kami menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan diesel daripada pembekal utama (penyeludup) di wilayah selatan,” kata peniaga diesel yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Cu.

Lelaki berusia 70 tahun itu yang mengusahakan gerai di Narathiwat berkata, dia dan peniaga Thailand lain kini menjual diesel Malaysia antara RM4 hingga RM4.20 seliter kepada pemandu Thailand. Harga diesel semasa di Thailand adalah RM4.26 seliter.

Dia juga percaya peningkatan rondaan sempadan oleh agensi penguatkuasaan Malaysia terhadap penyeludupan diesel juga menjadi punca kekurangan bekalan.

Lapor Kosmo!, jumlah gerai di Takbai dan Sungai Golok di sepanjang jalan utama yang menjual minyak Malaysia menunjukkan penurunan drastik.

Golongan pemandu kenderaan Thailand membeli diesel Malaysia berikutan harga yang lebih murah berbanding dijual di negara mereka.

Terdahulu, Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula tarikh 10 Jun lalu.

Menurutnya, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Langkah subsidi diesel bersasar itu dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion serta memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan rakyat.

Bagi mengurangkan kesan harga diesel baharu, kerajaan memperkenalkan program bantuan tunai komoditi Budi Madani individu dan Budi Madani Agro yang membabitkan 30,000 individu yang layak menerima RM200.

BACA JUGA Yang cakap harga barang mahal tu, boleh tak kongsi resit