Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat menyangkal desas-desus kononnya bakal berlaku pembubaran DUN dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Memetik dari Malaysiadateline, Naib Pengerusi AMANAH negeri itu dilapor berkata, BN masih lagi mempunyai kelebihan satu kerusi, iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik Pakatan Harapan (PH).
Beliau berpendapat majoriti sangat tipis dimiliki kerajaan negeri susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, 21 Disember lalu masih berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.
“BN masih ada kelebihan satu undi. Selama ini pun kerajaan bertahan dengan majoriti yang nipis dan tiada sebarang masalah berlaku.
“Tempoh penggal pun masih ada satu tahun lagi. Tiada sebab yang jelas untuk DUN dibubarkan di tengah-tengah keperitan rakyat hadapi pandemik Covid-19,” dipetik Malaysiakini.
Sejak berakhirnya sidang DUN Khas pada minggu lalu, khabar angin pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN kembali hangat diperkatakan.
Akhir tahun lalu, kerajaan negeri yang terdiri daripada gabungan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN.