Seorang penceramah bebas, Ustaz Dusuki Abdul Rani dikritik kerana membina menara masjid yang dianggarkan berharga kira-kira RM225,000.
Melalui sebuah hantaran di laman sosial Facebook, Al-Abror Mohd Yusuf mendakwa penceramah tersebut menghabiskan wang yang disedekahkan kepada orang ramai atas tujuan tersebut.
“Lima menara dengan setiap satu berharga RM45,000. maka dia menghabiskan wang (orang ramai) sebanyak RM225,000 hanya untuk menara saja.”
“Bayangkan berapa banyak faedah lain yg boleh dimanfaatkan drp wang bernilai RM225,000….”
Individu tersebut turut mempersoalkan wang yang dilaburkan ke menara masjid itu pastinya dapat digunakan untuk tujuan yang lebih penting dengan jumlah yang sebesar itu.
Al-Abror juga menegaskan di dalam islam dilarang untuk membazir, namun antara tempat yang sering dilihat kerap melakukan pembaziran adalah di masjid, surau atau musolla.
Melalui hantaran Ustaz Dusuki Abdul Rani, beliau mengajak orang ramai bersedekah untuk membina menara yang ke-5 dan juga menginfakkan wang atas ibu-bapa yang sudah meninggal dunia.