Editor Sarawak Report jangka dia akan ditahan Interpol di Sepanyol

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menyuarakan kebimbangan akan ditahan bagi pihak kerajaan Malaysia pada Isnin sekiranya dia ke Sepanyol untuk menjaga bapanya yang uzur.

Rewcastle-Brown yang juga adik ipar bekas Perdana Menteri Britain Gordon Brown itu mendakwa dia berisiko untuk dipenjarakan kerana mendedahkan skandal rasuah di Malaysia manakala penyokongnya mengkritik Polis Antarabangsa (Interpol) yang gagal memberi jaminan kebebasan terhadapnya.

Wanita itu memberitahu The Telegraph di London bahawa dia belum mendapatkan pertolongan abang iparnya kerana “tidak mahu membuatkannya berasa bimbang”.

Laporan mengatakan Sepanyol menjadi sasaran pilihan sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk rejim autoritarian menggunakan sistem Notis Merah Interpol bagi menjerat seteru politik.

Pada 2018, Bill Browder seorang pengkritik tegar Kremlin, ditahan polis Sepanyol menerusi waran tangkap antarabangsa yang dimohon oleh Russia menerusi Interpol.

“Sebaik notis itu dikeluarkan, seseorang individu berdepan risiko diekstradisi atau jika tidak pun mungkin ditahan selama berbulan-bulan dan melalui pertikaian undang-undang untuk dibebaskan.

“Malaysia pada 2015 sebelum ini telah membuat permohonan kepada Interpol untuk mengeluarkan Notis Merah bagi menahan Rewcastle -Brown tetapi ditolak,” kata laporan itu.

Media itu turut melaporkan malam tadi, badan penguatkuasaan undang-undang menolak kemungkinan untuk melakukannya lagi sekiranya terdapat permintaan dibuat ketika wartawan itu berada di Sepanyol.

“Saya bimbang ‘watak’ sama cuba menyalahguna Interpol untuk menahan saya sebagai pengganas pada 2015 apabila kembali berkuasa dan akan cuba membuat satu lagi permohonan Notis Merah dengan tujuan menahan saya di mana-mana lokasi di seluruh negara,” kata Rewcastle-Brown.

“Mereka berusaha menggambarkan diri saya sebagai penjenayah kerana mendedahkan amalan rasuah yang menjadi tugas saya sebagai wartawan. Mereka mendakwa ia adalah fitnah jenayah yang mana ianya tidak wujud di bawah undang-undang Britain atau mana-mana negara paling demokratik yang memberi hak untuk melindungi kebebasan wartawan yang membuat laporan mengenai individu mempunyai pengaruh politik,” katanya kepada akhbar itu.

Katanya, dia boleh ditahan dan dipenjarakan di pintu sempadan oleh pegawai yang tidak tahu mengenai latar belakang kes terbabit sebelum melalui prosedur undang-undang untuk mengelak diekstradisi ke Britain.

Perjalanan ke Sepanyol boleh membawa risiko tambahan di luar kesediaan negara untuk bertindak berdasarkan waran antarabangsa palsu, kerana ia adalah salah satu daripada beberapa tempat di dunia Barat yang mempunyai undang-undang fitnah jenayah, kata laporan itu.

“Ini bermakna Malaysia mungkin boleh meminta supaya Rewcastle-Brown diekstradisi tanpa perlu melalui Interpol.”

Rewcastle-Brown yang berkahwin ahli strategi media dan adik Gordon Brown, Andrew, telah mendedahkan skandal 1MDB kepada dunia ketika menjadi editor Sarawak Report iaitu sebuah laman sesawang penyiasatan yang pada mulanya diasaskan untuk mendedahkan eksploitasi alam sekitar dan kegiatan rasuah berkaitan di tempat kelahirannya itu.

Jessica Ní Mhainín, pengurus dasar dan kempen di pertubuhan memperjuangkan kebebasan bersuara, Index on Cencorship memberitahu akhbar itu “Interpol harus mengambil langkah segera untuk menghalang usaha pihak berkuasa Malaysia menyalahguna sistem bagi mengganggu Clare Rewcastle Brown dan memastikannya perjalanan masuknya ke Sepanyol tidak disekat.”

Jurucakap Interpol berkata mereka masih belum menerima sebarang permintaan tetapi tidak mengesahkan sama ada permintaan selanjutnya itu akan ditolak, lapor media itu lagi.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/03/saya-mungkin-ditahan-interpol-di-sepanyol-kata-rewcastle-brown/