Elyana makin sembuh, selera makan kembali pulih

Elyana makin sembuh, selera makan kembali pulih. Elyana bersyukur apabila dimaklumkan dirinya pulih dan bebas daripada kanser limfoma tahap empat.

Menurut Berita Harian, Elyana, 35, atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal mengakui tidak mahu terlalu gembira apabila sel kanser sudah tiada, sebaliknya, Elyana bersyukur apabila doanya untuk sihat dimakbulkan Tuhan.

“Saya lega… Bagai ada satu beban yang saya pikul selama ini sudah tiada. Tetapi saya tidak boleh gembira terlalu awal sebab kanser boleh datang semula bila-bila masa sahaja.

“Jadi, saya hanya nikmati apa yang ada sekarang. Saya tidak berharap sangat, namun, alhamdulillah selepas lebih 10 tahun, doa saya dimakbulkan.

“Saya rasakan diri ini bagai dilahirkan semula,” katanya.

Elyana mengaku beratnya bertambah kerana selera makan kembali dan pengambilan steroid.

“Iya, berat badan saya bertambah. Salah satu sebab adalah steroid dan selera makan saya sudah datang balik.

“Jadi, daripada berat badan hanya 35 kilogram (kg), sekarang sudah mencecah 60 kg. Sejujurnya, saya tidak berpantang makanan dan disebabkan itu, ramai netizen mengecam saya,” katanya.

Bercerita lanjut, Elyana berkata, pada lima tahun pertama menghidapi kanser, dia mengamalkan pantang.

“Tetapi saya jadi lemah. Mental turut terkesan sebab saya rasa diri ini sakit. Selepas itu, saya teruskan macam biasa, nak makan apa, saya makan tetapi berpada-pada.

“Sebab bagi saya, semuanya yang diambil berlebihan akan memudaratkan,” katanya.

Elyana berkata, dua anaknya iaitu Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani menjadi insan paling gembira sebaik mendapat tahu dirinya pulih daripada kanser.

Elyana mendedahkan dirinya menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat pada 2017. Sebelum ini, sel kanser menyerang dan merebak ke beberapa organ badan Elyana seperti rahim, hati dan pangkal paha.

Baca Juga: Mawar tepis dakwaan sudah berkahwin, mengaku sedang dalam proses berkenalan

Baca Juga: Lagu raya Aliff Syukri jadi bahan cemuh, warga Indonesia juga anggap aksi ‘sotong’ melampau hina baju Melayu