Artis grafik Fahmi Reza sekali lagi dipanggil polis untuk memberi keterangan membabitkan dua hantarannya di Facebook.
Fahmi dalam catatan di Twitter memaklumkan, dia akan memberi keterangan pada Khamis depan berhubung perkara itu.
“Hari ni polis panggil aku ke balai untuk 2 kes baru terhadap aku. Satu di IPD Kajang dan satu lagi di IPD Sepang.
“Aku disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan bersedia berdepan dengan apa saja siasatan atau tuduhan baharu dan sedia mempertahankan semua karya grafiknya.
“Tak kira apa rintangan, aku akan terus melawan. ‘Fisted hand #SatireIsNotACrime’.
“Seperti biasa aku tak akan padamkan posting-posting tu,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret hanya membenarkan polis mereman Fahmi selama sehari bagi siasatan “playlist” Spotify yang dikatakan mempersenda Raja Permaisuri Agong berhubung kenyataan baginda di Instagram.
Polis pada mulanya meminta perintah reman empat hari.
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengongsikan di akaunnya mengenai memasak hidangan popular tempatan seperti bubur lambuk, roti john dan cucur jagung di dapur istana.
Susulan itu, seorang pengikut kemudian menyoal sama ada tukang masak istana turut disuntik vaksin Covid-19, yang dijawab baginda, “Dengki ke?”
Jawapan itu pantas menjadi popular di Twitter dengan ramai pengguna turut menggunakannya sebagai tanda pagar.
Fahmi membuat pelbagai “playlist” di Spotify dengan tajuk “This is dengki ke?” yang memaparkan gambar Permaisuri Agong.
“Playlist” berkenaan kemudian diturunkan Spotify, menyebabkan artis itu berpindah menggunakan Apple Music.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/30/polis-panggil-fahmi-reza-beri-keterangan-2-kes-baharu/