Faizal tetap terima gaji RM27 Ribu walaupun tak sampai sebulan jadi penasihat PM

Butiran pendapatan Ahmad Faizal Azumu (PN-Tambun) semasa bertugas sebagai penasihat khas bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin didedahkan di Dewan Rakyat semalam.

Dalam jawapan di parlimen, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Ahmad Faizal gaji berjumlah RM27,227.20 dibayar secara pro-rata, memandangkan tempoh perkhidmatan yang singkat.

Ini termasuk gantian notis penamatan perkhidmatan sebanyak satu bulan gaji.

“Jawatan ini tidak melibatkan pembayaran pencen,” katanya bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong).

Pelantikan Ahmad Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu sebagai penasihat khas Muhyiddin diumumkan pada 5 Ogos.

Bagaimanapun, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos setelah 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongannya terhadapnya.

Ismail Sabri berkata, Faizal dilantik ke jawatan itu bagi menasihati perdana menteri ketika itu dalam hal-hal yang berkaitan komunikasi komuniti.

“Beliau bertanggungjawab mewujudkan jalinan kerjasama yang erat antara Kerajaan dan pimpinan masyarakat serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenal dasar-dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan dan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi rakyat,” tambah Ismail Sabri.

Terdahulu, Lim meminta perdana menteri menyatakan jumlah gaji yang diterima Ahli Parlimen Tambun sebagai penasihat khas bekas perdana menteri bertaraf menteri dalam tempoh perkhidmatan yang singkat.

Baru-baru ini Ahmad Faizal dilantik sebagai menteri belia dan sukan dalam barisan kabinet Ismail.

Disember tahun lalu, dia disingkirkan sebagai menteri besar Perak setelah usul percaya dikemukakan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri.

Daripada 59 undi, hanya 10 Adun menyokongnya sebagai menteri besar.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/591388