Aktres Nur Fazura menjelaskan tindakannya memberikan ulasan mengenai isu sindiran yang ‘dipost’ oleh seorang individu yang dikatakan sebagai peminat tegar Neelofa dalam media sosial yang telah menjadi viral.
Tindakan tersebut diambil untuk membersihkan namanya serta keluarganya.
Merasa kesal dengan apa yang berlaku, pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin, yang berusia 40 tahun, bagaimanapun menegaskan bahawa penjelasannya tidak disengajakan untuk memancing emosi atau mengaibkan usahawan selebriti tersebut.
“Tiada niat membuka aib sesiapa, tetapi jika dibiarkan, perkara tidak betul yang tumbuh akan terus melata.
“Dalam Faz sibuk menguruskan kehidupan sendiri, keluarga dan rancangan kerjaya, muncul lagi anasir yang tidak jemu menangguk pada air yang keruh.
“Dikongsikan ialah rakaman video sebenar ketika wawancara pada majlis pelancaran produk terbaharu, baru-baru ini untuk dinilaikan sendiri.
“Sejujurnya, Faz hanya menjawab soalan diajukan wartawan. Jika tidak dijawab, ceritanya lain pula nanti.
“Respon Faz kepada soalan berkenaan perkara ditularkan oleh peminat tegar individu lain, tetapi sekarang digambarkan seolah-olah Faz pula memulakannya. Untuk apa?,” tulisnya menerusi hantaran berbentuk video berdurasi 1.57 saat itu yang dimuat naik di Instagram (IG), malam ini.
Lebih membuatkan pelakon filem Dendam Pontianak ini berasa kecewa apabila keluarganya, termasuk suaminya, Fattah Amin, dan anaknya, Nur Fatima Aisya, juga terlibat dalam kemelut yang tidak berkesudahan itu.
“Tiada sebab dan tiada keuntungan untuk Faz memulakan sesuatu yang tidak produktif.
“Banyak perkara lain perlu diberikan perhatian. Faz sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah SWT kepada Faz dan keluarga selama ini.
“Namun, itu tidak menghalang Faz, Fattah dan keluarga menjadi mangsa cacian dan fitnah peminat tegar ini.
“Ini bukan kali pertama, sudah bertahun-tahun lamanya, tapi Faz dan suami terus fokus kepada kehidupan dan kerjaya sendiri.
“Kini, Fatima juga menjadi mangsa tambahan. Apa salah dia sehingga sasaran cacian itu dihalalkan?,” tegas pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-27 ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Fazura beberapa jam selepas Neelofa mengakui kesediaannya untuk berdamai dengannya, sekali gus mengakhiri krisis yang bermula sejak 13 tahun lalu.
Melalui kenyataan tersebut, penyanyi Sayangi Dirimu ini juga menegaskan bahawa tidak ada perang dingin dengan Neelofa seperti yang didakwa oleh bekas pengacara Nona.
“Naratif ‘perang dingin’ yang digembar-gemburkan ini juga tidak betul dan tidak pasti apa niatnya.
“Sama juga seperti orang lain, Faz berhak menentukan dengan siapa Faz sesuai berkawan.
“Tidak berkawan, tidak semestinya memusuhi. Kini, izin suami dengan siapa Faz wajar berkawan juga wajib diberikan keutamaan,” ungkapnya.
Baca juga: Tukar selera! Lelaki ini kongsi cara buat nasi ulam, makan dengan ikan masin ‘confirm’ terangkat..