Pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee menafikan poster filem terbarunya yang berjudul ‘BABI’ menghina orang Melayu.
Sebaliknya dia berkata, filem tersebut mengajak kepada perpaduan dan keharmonian sesama rakyat Malaysia dan bukannya untuk mencetuskan perkauman.
Pemuda PN dakwa Namawee hina Melayu.
Menurutnya, tindakan sekumpulan pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadapnya juga adalah tidak wajar kerana cerita ‘BABI’ mengisahkan rusuhan kaum di sekolah dan poster diambil dari contengan di dinding tandas sekolah tersebut.
“Sebagai pengarah filem, saya ingin menyampaikan mesej mengenai kepentingan perpaduan dan toleransi pelbagai kaum melalui filem ini. Saya berharap agar setiap kaum di Malaysia boleh jadi lebih harmoni dan muhibah. Bukan berpecah disebabkan konflik
“Cerita ini juga berkenaan konflik perkauman di sebuah sekolah. Oleh itu banyak contengan yang menghina di dinding tandas sekolah.
“Poster kami juga dibuat dari contengan di dinding tandas. Tulisan di tandas itu bukan sahaja ada kata kesat kepada Melayu, tetapi juga kepada Cina dan India,” katanya dalam satu muatnaik video di Facebooknya.
Sebelum ini, Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan telah membuat laporan polis terhadap Namewee, mendakwa poster filem terbaharunya menyentuh sensitiviti kaum.
Laporan polis dibuat kerana poster filem bertajuk ‘BABI’ itu mengandungi perkataan ‘Melayu Bodoh’, ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’.
Mereka berkata, penghinaan dan provokasi itu dilihat amat keterlaluan dan merupakan satu tindakan kurang ajar serta biadab, dibimbangi menimbulkan ketegangan antara kaum di Malaysia.
Sementara itu Namawee berkata, jika dia benar benci pada Melayu dan orang Islam, tidak perlu untuknya membuang duit menghasilkan karya membawa mesej perpaduan seperti itu.