Fitnah gangguan seksual, Ketua Hakim Syarie saman Lokman Adam RM30 Juta

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam disaman sebanyak RM30 juta susulan fitnahnya berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seseorang yang bergelar Datin.

Dipetik dari Agenda Daily, tuntutan saman tersebut dibuat Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang mendakwa Lokman sudah membuat fitnah terhadapnya bersabit tuduhan tersebut.

Turut difailkan bersama-sama writ saman tersebut ialah permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) terhadap Lokman.

Menurut semakan di sistem kehakiman mahkamah, permohonan injunksi tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff esok (20 Januari) manakala kes saman fitnah itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Februari ini.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, Mohd. Na’im selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa defendan, Lokman telah membuat dua siaran langsung mengandungi kenyataan berbaur fitnah di laman sosial Facebook miliknya pada 10 dan 13 Januari lalu.

Rakaman rakaman kedua-dua siaran langsung itu kemudian telah dimuat naik ke laman Youtube milik defendan.

Defendan juga telah memuat naik tiga lagi hantaran di laman Facebook miliknya di antara 11 dan 13 Januari lalu.

Menurut plaintif, berdasarkan hantaran (posting) yang dibuat oleh defendan, Lokman antara lain telah menggambarkan Mohd. Na’im telah membuat gangguan seksual ke atas beberapa wanita termasuk seseorang bergelar Datin, tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie, mempunyai akhlak yang buruk dan menyebabkan negara dilanda musibah.

Hantaran-hantaran tersebut juga didakwa menyebabkan kredibiliti, maruah dan reputasi Mohd. Na’im terjejas serta mengundang kecaman dan kebencian daripada orang awam yang melihat rakaman dan membaca hantaran tersebut membuat andaian.

COMMENTS