Remaja berkelainan upaya yang disyaki menjadi mangsa rogol tahun lalu, melahirkan bayi lelaki dalam tandas rumahnya di Kampung Cherang Ruku, Selasa lalu.
Mangsa yang berusia 18 tahun merupakan OKU dengan masalah pertuturan disedari melahirkan bayi oleh ibunya yang berusia 36 tahun, kira-kira pukul 10.40 malam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, ibu saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku mewakili ibu bapa mangsa yang sedang menjalani kuarantin kerana disahkan positif Covid-19.
“Ibu mangsa memberitahu dia tidak mengetahui anak sulungnya itu hamil kerana tiada perubahan fizikal yang ketara kecuali sedikit berisi, malah mangsa tidak pernah mengadu sebarang masalah.
Gadis itu disedari melahirkan bayi lelaki dengna kepala anaknya itu berada di dalam lubang tandas dan sempat diselamatkan oleh ibu mangsa yang melihat kejadian,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, bapa mangsa kemudian mengejarkan bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk rawatan lanjut.
Ibunya memaklumkan mangsa sebelum ini tidak pernah keluar rumah melainkan ditemani bapanya.
Namun pada bulan Mei tahun lepas, mangsa ditinggalkan bersama adik beradiknya kerana ibu bapanya keluar untuk menerima bantuan zakat di masjid.
Selepas pulang dari Masjid, ibunya hairan apabila mendapati mangsa berada di luar rumah dengan pintu terbuka sedangkan gadis tersebut tidak pandai membuka pintu sendiri dan kemungkinan ketika itulah mangsa dirogol.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini tidak dapat mengenal pasti suspek lagi memandangkan mangsa ada masalah pertuturan.
Gadis dan bayi tersebut dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan kedua-duanya dilaporkan stabil. Siasatan akan dilakukan mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.