Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertikai tindakan peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar yang memfailkan saman pemula terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong kerana tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.
Presiden Penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan saman tersebut yang hanya menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal tanpa meletakkan nama Peguam Negara sebagai defendan kedua.
Walhal menurutnya, Peguam Negara adalah pihak terpenting yang menasihati Muhyiddin untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar darurat diisytiharkan.
“Yang peliknya, saman pemula yang difailkan oleh Syed Iskandar menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal. Tiada pihak lain yang dinamakan sebagai defendan.
“Sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, tentunya Peguam Negara akan mewakili kerajaan untuk menjawab soalan yang ditimbulkan oleh saman tersebut. Tidakkah ini merupakan konflik kepentingan?
“Mana mungkin Peguam Negara yang menyediakan hujah bagi mewajarkan darurat, kini mempertahankan di mahkamah keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak pengisytiharan itu?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Mukhriz, antara pegawai tertinggi kerajaan yang mengiringi Perdana Menteri bagi menghadap Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengesyorkan pengisytiharan darurat ialah Peguam Negara.
Malah katanya, Peguam Negara telah dipertanggungjawabkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Seri Paduka Baginda dan kerajaan dalam perkara berkaitan undang-undang.
“Sudah tentu beliau (Peguam Negara) terlibat secara langsung mengenai pengisytiharan tersebut,” katanya lagi
Terdahulu, saman pemula yang difailkan itu mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak nasihat Perdana Menteri dalam soal pengisytiharan darurat.
Saman pemula tersebut difailkan oleh Syed Iskandar di Mahkamah Tinggi terhadap kerajaan Malaysia, pada 28 Oktober lalu.
Saman itu mendakwa bahawa Seri Paduka Baginda tiada pilihan selain menerima bulat-bulat nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.
Sementara itu kata Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun, rakyat perlu menolak segala tindakan yang bertujuan mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong selepas menolak pengisytiharan darurat.
“Saman pemula yang difailkan oleh Syed Iskandar tidak patut dilayan;
“kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak “nasihat” Perdana Menteri mengenai darurat mestilah dianggap sah,” tegasnya lagi.
Sumber: MD