Gagal jodoh, Ketua Polis Selangor sahkan anggotanya pukul wanita dalam lif

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed mengesahkan seorang anggota polis yang didakwa terbabit kejadian pukul wanita dalam lif di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, Selasa lalu dipindahkan ke bahagian pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata, anggota berusia 35 tahun itu berpangkat detektif koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Saya mahu betulkan fakta yang memaklumkan individu berkenaan adalah pegawai kanan polis tetapi sebenarnya detektif koperal yang bertugas di IPK Selangor.

“Susulan kes ini, kami mengambil tindakan serta-merta dengan memindahkan anggota berkenaan daripada tugas sebagai detektif kepada tugas pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan oleh polis Kuala Lumpur,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Arjunaidi menegaskan, selain siasatan dari segi perlakuan jenayah, siasatan dari segi tatatertib turut dijalankan terhadap anggota terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penjawat awam bertindak memukul seorang wanita dalam lif selepas berang gagal mencari calon jodoh di sebuah laman sesawang.

sumber : fmt