Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sebab siarkan kisah aku ni. Nama aku Joe. Sebenarnya aku nak minta pendapat pembaca kat sini. Aku dah buntu, rasa macam dah tak ada jalan untuk keluar dari masalah besar aku.
Ceritanya macam ni, tahun 2013 dulu aku dapat kerja kat KL di bawah satu syarikat glc. Masa tu bujang lagi, gaji permulaan masa tu RM 7k. Aku beli kereta H tu pastu beli pulak rumah 770k (2 bilik saja, serviced apartment kat area kerinchi).
Kemudian aku apply pulak card credit untuk tampung nafsu berbelanja aku kat KL tu. Biasa la orang muda, dengan gaji banyak macam tu. Setahun lepas tu, aku belikan pulak bini aku kereta sebab kesian masa tu dia tengah mengandung.
Jauh dia kena ulang alik tempat kerja. Masa tu kitorang PJJ. Bini aku tak tau yang aku ada rumah kat KL. Aku tipu dia. Aku cakap aku menyewa je selama ni. Makin lama aku rasa terbeban dengan komitmen aku dan kos berbelanja aku kat KL tu.
Gaji aku ada naik sikit pastu aku cuba pulak buat personal loan. Aku apply loan paling maksimum. Konon nak tutup kereta pastu buat simpanan sikit. Apply pulak ASB financing. Tapi asal duit aku habis tengah bulan aku keluarkan dividen dengan simpanan aku tu.
Anak pulak dah masuk tiga orang masa ni. Sampai sekarang, bini aku langsung tak tahu pasal kegiatan aku ni. Dia ingat aku ade saja duit nak tampung dia dengan anak-anak. Pastu aku try buat personal loan apply maksimum kat bank lain.
Sama cerita jugak. Duit aku habis entah ke mana. Aku ni ada anxiety kalau tengok duit tinggal seribu lebih pertengahan bulan terus aku rasa gelisah. Aku apply lagi credit card. Moratorium pun aku habiskan untuk kos hidup aku dan beli barang hobi aku.
Aku beli lagi satu rumah kat kampung aku. Kali ni aku joint loan dengan bini. Aku tipu dia kena buat joint loan baru lepas buat pinjaman sebab kerja aku high risk jadi tak boleh aku sorang saja apply. Mesti korang dah pening kan.
Akhirnya sekarang ni aku ada hutang rumah around 900k, personal loan 400k, hutang card credit tak terbayar sehingga 8 keping. Alhamdulillah gaji aku naik sekali ganda, jadi boleh la tampung semua tu. Cuma aku langsung takde simpanan dan tiap-tiap bulan poket aku selalu kering.
Sekarang ni aku buntu sebab komitmen aku terlalu banyak. Kawan baik aku syorkan aku untuk jumpa dengan AKPK. Tapi dalam masa yang sama aku buat pulak lagi personal loan sebelum AKPK aku lulus. Bertambah la lagi hutang personal loan aku.
Bini aku pulak sekarang dah mula syak macam-macam. Yela, sampai bila aku boleh sorok benda ni. Aku tak tau macam mana nak bagitau perkara sebenar kat bini aku. Aku ada jugak tipu duit dia dalam 10k camtu untuk bayar komitmen kereta tapi sebenarnya kereta tu aku dah tutup dah dulu guna personal loan yang aku apply tu.
Duit dia aku guna untuk belanja lain. Korang boleh tak bagi pendapat kat aku macam mana nak berterus-terang dengan bini aku. Aku takut. Ke diam saja sampai aku selesaikan hutang AKPK? Pastu aku nak tau jugak ada ke nak beli rumah yang aku beli kat Kerinchi tu?
Sekarang penyewa rumah tu cuma bayar aku murah dalam RM 500 saja. Sedangkan bulanan kat bank aku kena bayar RM 3000 lebih. Bini aku masih tak tau pasal rumah ni. Aku bagi saja sewa rendah sebab takut penyewa lari sebab masa k0viid banyak penyewa lari dari apartment tu.
Mostly balik ke negara dorang sebab penyewa kat sana kebanyakannya expat. Keadaan aku betul-betul huru hara sekarang ni. Tolong la korang bagi aku pendapat bernas, kecaman pun aku terima asalkan membina. – Joe (Bukan nama sebenar)