Berjalan kaki 4km ke tempat kerja, netizen sedih lihat nasib warga emas ini

Tular sebuah video yang mendakwa seorang warga emas berumur 70an yang bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji RM45.

Lelaki ini juga terpaksa berjalan kaki sepanjang 2km dari rumah ke tempat kerja kerana ketiadaan wang untuk menaiki pengangkutan.

Menerusi video, aktivis kebajikan Saharuddin Amirullah menghentikan kenderaannya demi untuk menolong warga emas terbabit.

“Kebiasaannya asnaf yang lain pergi tempat kerja menaiki basikal. Tapi pakcik ni cuma berjalan kaki, padahal tempat tinggal dengan tempat kerjanya sejauh 2km.

“Saya ternampak pakcik tu ketika dia dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Rumah dia di penempatan asnaf, macam setinggan.

“Dia tiada basikal sebab tiada duit nak beli basikal. Anak pakcik tu semua perempuan dan tak bekerja sebab masih remaja belasan tahun. Kesian hari-hari jalan kaki,” ujar Saharuddin kepada mStar.

Dalam pertemuan di tepi jalan di Sandakan, Sabah, baru-baru ini, Saharuddin sempat menyerahkan bakul makanan berisi beras, minyak masak dan telur kepada warga emas tersebut.

Ketika dibawa menaiki kereta, warga emas itu juga sempat berborak dengan Saharuddin sebelum dia mendedahkan hanya menerima gaji RM45 sehari.

“Kasihan juga takut pakcik ni terbeban dengan bakul makanan yang kami bagi. Jadi kami terus tumpangkan dia balik ke rumah.

“Gaji sehari pakcik RM45. Tapi katanya, kalau tiada kerja, tak boleh makan. Apa lagi pilihan yang pakcik ada kalau tidak kerja, tiada apa yang boleh dimakan,” katanya.

Hingga kini video mengenai warga emas berkenaan meraih lebih 150,000 tontonan di aplikasi TikTok dan turut dihujani komen-komen yang bersimpati dengan nasibnya.

“Tak tahan air mata saya tengok pakcik ni. Kesiannya teringat arwah ayah saya.

“Sedihnya, kalau hujan tu, terpaksa la pakcik ni redah juga,” tulis beberapa netizen.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata seorang individu bersetuju untuk menghadiahkan sebuah basikal buat warga emas itu selepas tularnya video tentang kisah hidupnya di TikTok.

“Syukur, dah jumpa hamba Allah yang nak bagi pakcik tu basikal baharu. Basikal tu akan diberi minggu ini, sebelum raya (Aidiladha).

“Saya harap kisah pakcik ni dapat jadi inspirasi sempena Hari Bapa. Dia masih berkorban walau di penghujung usia,” ujar Saharuddin lagi.

Baca juga: “Gaji RM42,000 sebulan, rupanya kerja bagi nama bayi je”