Ahli-ahli politik yang telah dipilih oleh pengundi untuk menjalankan tugas mereka di Latvia tidak dibenarkan berkhidmat dan menerima gaji jika mereka belum mendapat vaksin COVID-19 atau pulih daripada jangkitan virus itu mulai Isnin ini.
Peraturan baharu itu juga dikuatkuasakan ke atas dua ahli Parlimen yang enggan divaksin di negara tersebut.
Para majikan di Latvia turut dibenarkan untuk membuang para pekerja yang tidak mahu divaksin di bawah peraturan baharu bagi membendung penularan COVID-19 di negara itu.
Penduduk yang belum divaksinasi juga tidak dibenarkan untuk pergi ke pusat-pusat beli-belah yang mempunyai keluasan lebih 1,500 meter persegi.
Pengawal keselamatan di pusat beli-belah akan memeriksa pelanggan-pelanggan sama ada mereka sudah menerima vaksin COVID-19 sebelum mereka dibenarkan masuk.
Dalam pada itu, para pekerja yang masih belum menerima suntikan vaksin tidak akan menerima gaji selama tiga bulan dan jika masih tidak mahu mendapatkan vaksin COVID-19, para majikan dibenarkan untuk membuang mereka dan diberikan pampasan selama satu bulan gaji.
Kerajaan juga menyatakan bahawa ia akan menamatkan perintah berkurung yang dilaksanakan ke atas penduduk antara jam 8 malam sehingga 6 pagi waktu tempatan di negara berkenaan. -Agensi