Gara-gara Diva AA berjoget dangdut, peniaga menangis, YB Kedah tergamak arah peniaga tutup kedai

Gara-gara tular Diva AA menari di atas pentas Fiesta Raya Baling pada Hari Nuzul al-Quran, 28 Mac lepas, seorang YB (Yang Berhormat) tergamak arah peniaga ‘bungkus’ tutup reruai masing-masing.

Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob, seorang wakil rakyat dari parti Bersatu itu mengejutkan dan mengecewakan para peniaga.

Antaranya, seorang peniaga wanita menerusi TikTok menangis meluahkan rasa kecewanya dan menyifatkan keputusan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak ada budi bicara.

“Dekat mana budi bicara hangpa sebagai orang Islam. Exco arahkan semua penganjur beritahu vendor-vendor ‘clear’kan dalam tempoh 48 jam.

“Apa salah kami peniaga sampai kami kena diarahkan tutup?” soalnya.

Wanita itu memberitahu dia mengambil bahagian dalam Fiesta Raya Baling sempena Aidilfitri ini untuk memberi peluang kerja kepada penduduk-penduduk tempatan untuk jaga reruai.

“Bila reruai diarah tutup automatik budak-budak tu tiada kerja sampai raya. Dekat mana budi bicara hangpa?” soalnya kesedihan sebelum mengakhiri video itu dengan berkata, “Jawablah di akhirat esok”.

Terdahulu, penganjur Karnival Fiesta Raya Baling 2024 tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak terutama rakyat Kedah atas kontroversi yang berlaku membabitkan Diva AA.

Menerusi kenyataan, Maju Kedah Resources berkata, persembahan tarian ala dangdut Diva AA itu bersama beberapa orang lelaki di atas pentas adalah di luar jangkaan pihaknya.

Menurutnya, Diva AA atau nama sebenarnya Azwan Ali bukan salah satu daripada atur cara program.

Katanya, kehadiran Diva AA adalah atas undangan kawan Tiktokers, Diva BB yang turut sama berniaga di Fiesta Raya Baling.

Gara-gara joget dangdut Diva AA itu, penganjur memberitahu pihaknya menerima teguran daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob.

ADUN itu mengarahkan Fiesta Raya Baling 2024 ditutup atas dasar tanggungjawab berhubung insiden berkenaan.

“Kami selaku penganjur dengan rasa tanggungjawab menerima teguran tersebut untuk menutup terus penganjuran acara Fiesta Raya Baling 2024.

“Hari Sabtu adalah hari terakhir kami beroperasi,” katanya.

Dalam kejadian dipercayai Khamis, 28 Mac lalu iaitu Hari Nuzul al-Quran, tular video Azwan Ali bersama beberapa orang lelaki berjoget dangdut di atas pentas pada Fiesta Raya Baling 2024.

BACA JUGA “Berbukalah yang manis bukan janji manis”… apa ada dengan lagu “Kita bikin kuih lapis”?