Gara-gara ilmu kongkang hidupku musnah malah aku bulatkan tekad berhenti kerja selepas dinaikkan pangkat sebagai pegawai di sebuah bank, aku berhenti kerja.
Pada 2008, semua kecoh dan bertanya kenapa saya hendak berhenti mengejut. Sedangkan hidup saya sudah stabil dengan pekerjaan tetap.
Saya sendiri tidak tahu kenapa saya buat keputusan mendadak itu. Apa yang saya tahu, nafsu dan semangat untuk bekerja seolah-olah hilang. Terbang sekelip mata. Itu saja.
Manusia penuh dengan hasad dengki. Sanggup melakukan apa saja, hatta melihat orang lain menderita, asalkan hajat atau dendamnya tertunai. Itulah yang pernah saya alami. Kerana hasad dengki, hidup saya menderita.
Saya sendiri tidak tahu kenapa saya buat keputusan mendadak itu. Apa yang saya tahu, nafsu dan semangat untuk bekerja seolah-olah hilang. Terbang sekelip mata. Itu saja.
Walaupun dihalang, saya sudah bulatkan tekad. Saya tetap berhenti. Dengan sedikit duit simpanan, saya menyewa sebuah kedai dan mula berniaga barang runcit. Tapi, perniagaan itu hanya bertahan dua bulan.
Setiap kali saya mahu mula berniaga, tiba-tiba saja semangat untuk bekerja hilang. Badan jadi lemah dan mengantuk. Akibatnya, setiap hari ke kedai tapi saya bukannya berniaga sebaliknya hanya datang untuk tidur. Kedai saya tutup.
Selepas perniagaan lingkup, saya berjinak-jinak pula sebagai penceramah dan ejen menjual insurans. Awalnya, semangat saya berkobar-kobar. Tapi, bila usaha itu mula menampakkan hasil, saya jadi malas semula. Semangat bekerja hilang begitu saja.
Bila sampai di rumah pelanggan, saya batalkan hasrat berjumpa mereka. Saya pulang semula ke rumah dan termenung. Fikiran saya kosong. Akibatnya, pekerjaan itu juga lingkup.
Keadaan ini berlanjutan selama setahun. Kehidupan saya tunggang langgang. Kereta ditarik pihak bank. Saya mula berhutang keliling pinggang. Poket sentiasa kosong. Duit simpanan habis.
Suatu hari, kakak kandung minta saya menemaninya untuk berubat dengan seorang ustaz di salah satu cawangan Darul Syifa. Selepas selesai berubat dan kami mahu pulang, tiba-tiba kakak memberitahu sesuatu pada saya.
“Dik, engkau berubat lah. Aku nampak ada benda putih atas kepala engkau tadi,” kata kakak serius. Mendengarnya saya ketawa. Nak berubat buat apa pula? Saya bukannya sakit. Kata-kata kakak tadi saya anggap merepek dan saya menolak permintaannya.
Rupanya dalam diam, apa yang kakak nampak pada saya itu diceritakan pada Ustaz Rahman yang merawatnya ketika datang berubat kali kedua. Lalu Ustaz Rahman meminta saya berjumpa dengannya.
Bagi menjaga hati kakak, saya akur. Hari itu, segala masalah yang berlaku pada saya terbongkar. Baru saya tahu kenapa sebelum ini saya sering termenung, hilang semangat bekerja dan hilang arah tujuan.
Hantar jin
Kata Ustaz Rahman, diri saya sebenarnya sedang dikuasai jin. Jin tersebut dihantar oleh individu yang dengki dengan saya. Menggunakan badan kakak sebagai perantara, Ustaz Rahman memanggil jin yang menguasai badan saya. Sebaik kakak dirasuk, Ustaz Rahman mula berdialog dengan jin tersebut dan saya boleh mendengarnya.
“Siapa engkau?” soal ustaz Rahman pada kakak yang sudah tidak sedarkan diri.
“Aku jiran rumah sebelah. Aku tak suka budak ni. Aku benci dia. Aku tak nak dia berjaya. Aku nak dia hidup merempat,” jawab jin itu dengan suara garau seperti lelaki.
Selepas bertanya beberapa soalan lagi, segala persoalan terjawab. Rupa-rupanya, jiran saya yang berusia 50 tahun itu sebenarnya dengki dengan kejayaan saya. Maklumlah, anak-anaknya semua tak menjadi. Disebabkan itu, jiran saya berjumpa bomoh dan menyihirkan saya dengan cara menanam objek yang telah dijampi, di hadapan rumah kami.
Selepas berubat, Ustaz Rahman minta saya datang lagi. Mengikut firasatnya, masih ada jin yang bersarang dalam tubuh saya.
Ketika datang berubat kali kedua sambil ditemani isteri, sekali lagi kakak dijadikan perantara untuk berdialog.
“Siapa engkau?” soal ustaz setelah jin memasuki tubuhnya.
“Aku mak mertua dia,” jawab jin di dalam badan kakak. Sebaik mendengar jawapan itu, saya dan isteri terkejut. Kami seakan-akan tidak percaya apa yang didengari tadi.
“Kenapa engkau buat dia macam ni?’ Ustaz Rahman terus menyoal.
“Aku nak buat dia bercerai. Aku diarahkan buat dia berpisah. Selepas dia berhenti kerja, anak tuan aku hidup susah. Aku mahu mereka bercerai. Aku dah lama tak suka dia ni,” jawab jin itu lagi.
Sebaik mendengarnya, air mata saya dan isteri mengalir. Kami seakan tidak percaya seorang ibu sanggup buat begitu. Dalam sesi dialog itu lagi, kami diberitahu yang ibu mertua saya sudah lama tidak suka pada saya.
Puncanya, isteri menolak calon pilihan ibunya dan memilih saya sebagai suami. Memang benar isteri saya pernah menolak lamaran calon pilihan ibunya semata-mata memilih hidup bersama saya.
Alhamdulillah, jin tadi berjaya dikeluarkan dari tubuh saya. Tapi, saya sihat tidak lama. Tidak lama kemudian, saya kembali jadi seperti sebelum ini. Apabila saya datang kali ketiga untuk berubat, Ustaz Rahman menolak untuk merawat saya.
“Kali ni saya tak boleh tolong. Yang ni kuat. Saya tak boleh lawan. Awak telah diberi makan tulang kongkang,” kata Ustaz Rahman.
Tulang kongkang?
Beritahu Ustaz Rahman, kongkang ialah haiwan seperti beruk tapi memiliki mata bulat yang besar. Pergerakannya sangat perlahan. Biasanya kongkang diburu untuk dijadikan ubat. Tapi dalam kes saya, ia telah disalah guna dan dijadikan sihir si*l. Sesiapa yang terkena sihir ini, hidupnya sentiasa malang.
“Yang bagi makan tulang kongkang ni kawan awak juga. Masa awak kerja dulu. Dia dengki awak naik pangkat,” beritahu Ustaz Rahman.
Mendengar penjelasan itu sekali lagi saya terkejut. Memang benar saya dinaikkan pangkat dan ada beberapa orang di dalam bank itu yang tidak berpuas hati. Tapi hanya beberapa bulan selepas dinaikkan pangkat, saya berhenti kerja.
Tambah Ustaz Rahman lagi, selepas diberi makan tulang kongkang yang telah dihancurkan itulah, saya mula jatuh sakit. Hidup saya jadi kosong, malas bekerja dan hilang semangat.
Kerana tidak mampu merawat saya, Ustaz Rahman mengesyorkan saya berjumpa seorang lelaki. Katanya, lelaki itu mungkin boleh menolong saya. Ketika mula-mula berjumpa lelaki yang dipanggil Pak Samad itu, dia juga enggan merawat saya. Tapi selepas saya ceritakan semua yang berlaku, barulah Pak Samad akur dan setuju membantu saya.
“Ilmu tulang kongkang ni kuat sangat. Kalau aku rawat pun engkau tak akan pulih sepenuhnya,” awal-awal lagi Pak Samad bagi peringatan.
Katanya lagi, ilmu tulang kongkang biasanya diamalkan oleh orang asli. Sesiapa yang termakan tulang itu, kesannya buruk. Biasanya seseorang itu akan dibenci orang sekeliling. Rezekinya tertutup dan orang akan menyampah bila memandang wajahnya.
Saya masih sering berulang alik mendapatkan rawatan. Entah bila saya akan pulih sepenuhnya, saya sendiri tak tahu. Saya ceritakan semua ini sebagai peringatan buat pembaca agar berhati-hati dalam berkawan.
Kepada mereka yang punya sifat dengki, janganlah guna cara begini untuk memuaskan hajat diri. Kasihanilah orang lain. Lihatlah apa yang berlaku pada saya. Akibat perasaan dengki, hidup saya musnah.