Gara-gara kes beli emas 131 kg, ini nasib dialami hampir 100 petugas Aman Palestin

Kes pembelian emas keseluruhan seberat 131 kg dengan 164 pertuduhan di mahkamah membabitkan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) turut memberi tempias kepada hampir 100 petugas pertubuhan itu.

Mereka daripada 150 petugas Aman Palestin diminta bercuti tanpa gaji sehingga dimaklumkan kelak.

Pembekuan akaun Aman Palestin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hampir tiga bulan juga mengakibatkan 13 daripada 20 cawangan Aman Palestin di seluruh negara terpaksa ditutup.

Pengurus Jabatan Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Ismail Muhammad Jufri, berkata ketetapan itu dimuktamadkan pengurusan NGO berkenaan berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Dia tidak menolak kemungkinan pengecilan operasi kali kedua, sekiranya akaun milik Aman Palestin terus dibekukan tanpa had masa yang jelas.

“Aman Palestin ketika ini, tidak dihalang untuk beroperasi, namun kos operasi sepenuhnya bergantung kepada dana sampingan yang sangat terhad.

“Setakat ini, kita masih terima sumbangan daripada pihak tertentu yang menyalurkan secara terus ke pejabat kami dari semasa ke semasa.

“Petugas kekal perlu melaksanakan bidang tugas berganda bagi menampung kekurangan tenaga kerja,” katanya lapor BH.

Baru-baru ini, pendakwaan kes pecah amanah, tipu dan ubah wang haram bernilai RM39.5 juta dikaitkan dengan Aman Palestin mencuri tumpuan susulan keseluruhan 164 pertuduhan dihadapi tiga tertuduh, 15 Februari lalu.

Dilaporkan, dua jam diambil untuk membaca semua pertuduhan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun dekat Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Selain Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut, 52, turut didakwa adalah pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan.

SPRM menerusi kenyataan pada 22 November lalu memaklumkan, 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dibekukan, membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Pembekuan akaun itu dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan syarikat NGO berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2022.

Sejak ditubuhkan, Aman Palestin menyalurkan pelbagai bentuk bantuan untuk projek di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan serta sumbangan orang ramai dengan matlamat utama bagi membebaskan al-Aqsa.

Antara projek dilaksanakan di Palestin dan kem pelarian Palestin di negara sekitanya ialah pembinaan rumah anak yatim, bantuan pengajian, perubatan, hari raya dan sara hidup, pembiayaan keluarga miskin, pertanian sara diri, berbuka puasa serta Projek Qurban Aidil Adha.

Aman Palestin juga bekerjasama dengan institusi kerajaan dan swasta, syarikat korporat, sekolah, masjid, badan kebajikan dan NGO di dalam dan luar negara bagi mencapai objektifnya.

BACA JUGA “Suami culas jaga anak dengan bini muda, dia siap call aku lagi mintak jagakan tapi ada aku kisah”