Gara-gara sindir penderitaan rakyat Gaza, Zara diboikot serta gesa tarik balik iklan kontroversi

Gara-gara menyindir penderitaan rakyat Gaza yang memaparkan patung hilang anggota tubuh dengan berlatarbelakangkan sisa runtuhan selain boneka pakaian dibalut dengan kain putih, kini Zara diboikot.

Rangkaian jenama Sepanyol, Zara pada awalnya dihambat dengan kontroversi gara-gara melancarkan kempen ‘The Jacket’ yang didakwa menggambarkan kempen genosid di Genting Gaza.

Berang dengan imej kempen sedemikian yang disifatkan tidak menjaga sensitiviti terhadap penderitaan berterusan penduduk Palestin yang masih dihujani peluru rejim Zionis.

Kebanyakan pengguna turut menggesa tindakan boikot ke atas Zara dan menuntut akauntabiliti kerana menyinggung perasaan penduduk Gaza.

“Saya terkejut melihat idea rekaan sebegini. Boikot Zara seumur hidup. Anda sememangnya berhati iblis.

“Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat,” kata seorang individu mewakili sentimen majoriti pengguna media sosial yang menzahirkan rasa marah kerana kempen keterlaluan tersebut.

Jenama yang diasaskan Amancio Ortega dan Rosalía Mera pada 1975 itu mendakwa kempen tersebut kononnya mahu mengetengahkan kepelbagaian dan memfokuskan rekaan pakaian tersebut.

Ia dengan jelas memaparkan patung hilang anggota tubuh dengan berlatar belakangkan sisa runtuhan selain boneka pakaian dibalut dengan kain putih.

Aktivis, terkejut dengan persamaan gambar dengan keadaan huru-hara di Gaza di mana orang ramai terpaksa mengusung mayat, membanjiri suapan media sosial Zara dengan beribu-ribu mesej yang menyeru boikot. Akhirnya, #BoycottZara menjadi sohor kini di platform media sosial X.

Baca juga: Siapa sangka, bayi yang pernah dilihat dalam ‘stroller’ 20 tahun lalu rupa-rupanya isteri lelaki ini