Seorang lelaki Cina sanggup melunaskan tunggakan sewa selama setahun untuk menyelamatkan gerai nasi lemak kegemarannya daripada ditutup.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook, lelaki bernama Sunny Coco itu merasa terkilan apabila gerai langganannya terpaksa ditutup kerana gagal membayar sewa.
Difahamkan, kegagalan ini berpunca daripada kesukaran dihadapi pemilik gerai nasi lemak untuk mendapatkan pelanggan memandangkan tiada lagi bas berhenti di situ.
Oleh kerana pelanggan mula berkurang, pemilik gerai berkenaan tidak dapat meraih keuntungan seterusnya gagal melunaskan tunggakan bayaran sewa selama setahun.
Pengusaha nasi lemak kemudian menerima surat amaran daripada pemilik premis yang mengarahkannya berhenti beroperasi dan mengosongkan gerai secepat mungkin.
Sebaik sahaja mendengar khabar sedih tersebut, Sunny Coco tanpa berlengah terus mengeluarkan wang daripada poketnya sendiri untuk membayar tunggakan sewa itu.
“Saya makan nasi lemak ini sejak umur 7 tahun. Mereka mula berniaga sejak zaman Datuk dan sekarang sudah sampai generasi ketiga. Disebabkan bas tidak berhenti di sini, pelanggannya sudah kurang.
“Terdapat tunggakan sewa kedai selama setahun. Mak Cik menangis dan beritahu pihak bangunan sudah keluar surat amaran dan suruh dia berhenti. Tanpa memikir, saya serahkan wang tunai dan minta dia pergi bayar.
“Saya sangat marah kerana gerai usia 50 tahun diminta tutup. Saya suruh dia pergi bayar. Kalau mereka tak izin sambung sewa, saya akan marah mereka,” tulis Sunny Coco menerusi satu hantaran tular.
Seperti dijangka, hantaran di Facebook itu dibanjiri dengan pujian yang mengagumi tindakan lelaki tersebut kerana ikhlas membantu walaupun mereka berlainan kaum.
Pemuda berkenaan turut berikrar tidak akan berhenti membantu dan memastikan gerai nasi lemak milik ibu tunggal yang terletak di Kulai, Johor itu terus beroperasi.
“Ini adalah lauk kepunyaan orang Kulai yang telah bertahan selama tiga generasi, saya akan pastikan mereka terus berniaga.” Ulas Sunny Coco.
Isu ini dikatakan sudah selesai selepas peniaga membuat bayaran dan mereka dibenarkan untuk terus beroperasi.
Baca juga: Makcik ni suruh edit bagi gerainya nampak ramai, perkara yang jadi lepastu buat rasa nak menangis