Gelagat di Hari Raya. Pastinya ramai yang rindukan suasana beraya di kampung, melihat gelagat saudara di hari Raya.
Pastinya bila raya tiba, anak-anak semua akan berkumpul di rumah ibu bapa masing-masing. Walaupun waktu banyak dihabiskan di atas jalan raya dek kerana kesesakan lalu lintas.
Raut wajah ibu bapa yang menantikan kita pula itu boleh dikatakan momen yang tak dapat dilupakan apatah lagi setelah dua tahun tidak dapat pulang beraya.
Ini antara gelagat di pagi raya:
1 Kejut anak-anak yang liat nak bangun
Zaman dulu anak-anak semua tidur di ruang tamu, dan akan nampaklah ibu bapa yang sibuk bangunkan anak masing-masing sebab nak ambil giliran mandi.
Siapa lambat nanti, pastinya ditinggalkan ketika semua pergi sembahyang beraya.
2 Mak-mak sibuk gosok baju
Selalunya mak-mak ni akan gosok sehari sebelum tapi kalau dah lambat ataupun tak sempat, pagi tu pasti dia akan berusaha gosok.
Jaranglah kita lihat mak biarkan anak pakai baju yang tak gosok.
3 Sembahyang Raya
Selalunya masa ini kereta semua akan dipenuhkan tak kira anak siapa yang penting semua naik kereta untuk ke surau atau masjid.
Bagi kaum hawa yang datang bulan, terpaksalah duduk di rumah dan kemas serba sedikit.
Kalau ada rumah saudara yang dekat dengan tempat sembahyang, pastinya rumah itu dituju sebelum pulang ke rumah sendiri.
4 Sesi bergambar dan bermaaf-maafan
Rasanya ini antara yang selalu dilakukan, ibu bapa akan menunggu anak-anak minta maaf dengan mereka. Ketika ini anak-anak yang paling gembira sebab lepas minta maaf dapat duit raya.
Sesi bergambar adalah untuk setiap keluarga dan akhir sekali bergambar dengan semua adik beradik, cucu dan orang tua.
5 Makanlah, apa lagi
Masa ini semua diet masa bulan puasa terbang, kalau tolak untuk makan kang dikira derhaka. Maka makanlah tanpa mengira kalori.
Ibu bapa akan berkumpul untuk makan dimeja manakala anak-anak semua makan di ruang tamu.
6 Sesi ziarah rumah saudara
Selalunya sesi ini bermula lepas zohor, rumah saudara terdekat akan dikunjung. Lepas zohor selalunya perut dah lapar balik.
Saat inilah anak-anak berjumpa sepupu dan berkenalan sesama sendiri. Tambahan pandemik baru-baru ini, pastinya ada banyak penambahan ahli namun kekangan menyebabkan kita tidak berkesempatan berjumpa mereka lagi.
7 Balik kira duit raya, masuk tabung
Anak-anak bila balik semua kira duit raya masing-masing dan mulalah nak bandingkan siapa paling banyak dapat duit raya.
Masa ini ibu bapa akan kumpul duit raya yang anak dapat, bimbang hilang. Zaman dulu masuk tabung PaMa (Papa Mama). Kemudian kalau nak beli barang atau makanan, duit tabung boleh digunakan.
Tapi ini semua senario sebelum pandemik berlaku, sebelum berjuta nyawa hilang kerana Covid. Kini ramai yang hilang ‘rumah’ untuk dituju perayaan kali ini.
Pastinya suasana tidak lagi sama namun hargailah orang yang masih hidup dan raikanlah bersama mereka.
Baca Juga: Adab ini perlu dijaga ketika bertandang raya nanti antaranya jangan tanya ‘bila nak kahwin’