Gelombang panas punca ramai diserang strok haba, Terengganu adakan solat sunat Istisqa

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menggalakkan setiap masjid di negeri tersebut untuk mengadakan solat sunat Istisqa berikutan cuaca panas yang melanda keseluruhan negeri itu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin, mengumumkan bahawa solat sunat untuk memohon hujan akan diadakan selepas solat Jumaat pada minggu ini.

Menurutnya, pengumuman mengenai hal tersebut telah disampaikan melalui surat rasmi yang dikeluarkan pada hari Ahad kepada semua pengerusi jawatankuasa masjid yang terlibat dari lapan daerah di negeri tersebut.

“Kita telah meminta supaya semua 510 masjid di Terengganu untuk mengadakan solat sunat Istisqa susulan keadaan cuaca panas yang melanda di beberapa kawasan di negara ini termasuk di Terengganu.

“Justeru kita memohon kerjasama untuk setiap jawatankuasa masjid menghebahkan kepada ahli kariah masing-masing supaya dapat melaksanakan solat sunat tersebut pada 10 Mei selepas solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah akan terus diserang gelombang panas mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius secara berterusan bagi tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Ia susulan Fenomena El Nino yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Baru-baru ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga melaporkan adanya lima kes strok haba dan kelesuan haba yang terjadi di Terengganu.

Baca juga: Cik B ‘payung’ kereta baharu cecah RM3 juta, siap tayang nombor plat CB111