Gempar !!! 26 individu positif Covid-19 di parlimen

Gempar !!! 26 individu positif Covid-19 di parlimen

Seramai 26 individu disahkan positif Covid-19 hasil saringan ke atas 1,801 orang bagi menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas bermula esok hingga 26 Oktober ini di Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan seorang Senator dan 25 kakitangan Parlimen selain dua ahli Parlimen turut dikesan positif hasil saringan di luar kompleks.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kesemua individu positif telah lengkap vaksinasi dengan seramai 15 daripada mereka adalah kes disahkan Covid-19 sebelum ini iaitu di antara 27 Mei hingga 1 September lalu, manakala 13 individu pula baru sahaja dikesan positif buat pertama kali semasa saringan kelmarin dan semalam melalui ujian RT-PCR.

“Dua kes mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi dengan
nilai CT value atau nilai kitaran ambang RT PCR di antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan nilai CT value di antara 21.95 sehingga 38.23.

“Ujian PCR genotyping assay yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah Varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah Varian Beta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Noor Hisham berkata, bagi mengesahkan jenis varian itu, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mula menjalankan penjujukan genom Covid-19 (Whole Genome Sequencing).

Beliau berkata, langkah yang diambil bagi kes yang dikesan positif ialah individu yang kali pertama disahkan positif ini (13 kes) tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen.

Katanya, mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO).

Jelas beliau, siasatan dan penilaian risiko masih dijalankan untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara satu sama lain serta mengenal pasti kontak rapat.

“Individu yang pernah disahkan Covid-19 sebelum ini (15 kes), akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Tindakan ini penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat dalam kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan,” katanya.

Buat masa ini, beliau berkata, mereka juga tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh Kementerian Kesihatan dan keputusan siasatan akan dimaklumkan segera setelah dimuktamadkan.

Katanya, mengambil kira situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan keputusan saringan yang dijalankan sebelum Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas diadakan, Kementerian menasihatkan agar semua individu yang hadir ke Parlimen dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada.

” Ini bertujuan memastikan mesyuarat dapat berjalan lancar, selamat serta penularan Covid-19
dapat dicegah semasa mesyuarat ini berlangsung, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS