Dalam riuh rendah konflik di antara Palestin dan Israel, seorang YouTuber Indonesia hadir dengan idea yang luar biasa dan dianggap lucu serta tidak capai dek akal manusia.
Terbaharu, melalui perkongsian Kang Ujang Busthomi cirebon di laman YouTube miliknya, dia berkongsi cerita bagaimana bomoh di Indonesia membantu Palestin melawan Israel.
Untuk pengetahuan anda, Kang Ujang Busthomi atau Ustaz HM Ujang Busthomi adalah seorang pendakwah bebas yang terkenal di Indonesia. Baru-baru ini, dia berpeluang berkunjung ke salah satu kawasan di Indonesia untuk melihat ritual para bomoh menghantar sihir dan roket ghaib ke Israel.
Di awal video yang berdurasi selama 22 minit tersebut, Kang Ujang berkata bahawa dia menerima undangan daripada sekumpulan bomoh terbabit untuk melihat ritual menghantar sihir dan roket ghaib ke Israel.
Ketika YouTuber ini bertanya apakah yang sedang dilakukan oleh mereka, salah seorang wakil bomoh terbabit menyatakan bahawa mereka mewakili bomoh nusantara mahu membantu negara Palestin yang sedang diserang teruk oleh Israel.
Bomoh tersebut juga menyatakan bahawa mereka akan menyerang secara ghaib dan sihir tersebut mengambil masa 2 hari untuk sampai ke Israel. Tambahnya lagi, para bomoh ini akan menyediakan jin untuk menjaga Palestin daripada dibedil roket Israel.
Konten yang dimuat naik pada 2 hari yang lepas mula tular di media sosial apabila seorang netizen di Malaysia memuat naik ke laman Twitter peribadinya. Kebanyakan netizen yang menonton, tidak kira Indonesia atau Malaysia, semuanya memberi maklum balas dengan emoji yang lucu.
Tidak pasti adakah bomoh ini benar-benar valid atau sebaliknya, namun ditengah-tengah situasi panas ini, kadang-kadang kita perlu sesuatu yang lucu untuk melepaskan tekanan dan geram kepada Israel.
Sejak dimuat naik, video terbabit telah mendapat 600,000 tontonan dan 29,000 tanda suka. Kebanyakan warga Indonesia yang menonton video terbabit mendoakan agar Palestin bebas daripada jajahan kejam Israel.
sumber : https://www.thevocket.com/lihat-bagaimana-30-bomoh-di-indonesia-serang-israel-guna-sihir-dan-roket-ghaib/