Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata dia tidak menyimpan dendam kesumat terhadap apa yang terjadi kepada dirinya, merujuk pendakwaan dan pemenjaraan yang dilaluinya pada masa lalu.
Dia menjawab soalan selebriti Afdlin Shauki yang bertanya bagaimana ketua pembangkang itu boleh berbesar jiwa seakan “adiwira” memaafkan seteru politiknya di sebalik pengalaman itu.
“Tapi jangan menganggap perkara ini sesuatu yang besar sangat.
“Sebab dalam sejarah, sejarah nabi-nabi sehinggalah pejuang-pejuang yang lain, ramai yang fikir kita tidak perlu terlalu terikat dengan masa lampau, penderaan masa lampau tetapi biar ada pengajaran,” kata Anwar melalui Facebook Live berjudul Sembang Spontan bersama Afdlin Shauki malam ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata memang tidak mudah untuknya memaafkan, apalagi melibatkan maruah anak-anak dan isterinya.
“Saya pun tak anggap itu mudah. Kadang-kadang geram juga, kadang-kadang rasa aku nak terajang, bukan tak ada, sebagai manusia kita ada.
“Tapi bila fikir-fikir balik macam mana kita nak rangkul kekuatan bawa perubahan atau nak selesaikan masalah,” katanya lagi.
Menjelaskan lanjut, Anwar menekankan soal pengajaran daripada pengalamannya itu supaya jangan ada lagi yang dizalimi pada masa akan datang.
“Bukan saya nak menganggap ini satu perkara ringan. Memang berat, sebab itu saya kata jangan dibuat kepada orang lain.
“Jadi ada orang tanya nak jadi pengajaran macam mana orang itu tidak dihukum.
“Sebab itu, kalau dia bersalah kepada saya, kamu seksa saya, saya boleh maafkan. Dia curi duit rakyat dia kena bayar balik.
“Dia lakukan jenayah, dia pukul orang setengah mati, orang itu kena dera… itu mesti ikut proses hukum.
“Jadi bukan saya boleh maafkan untuk semua orang, untuk diri saya sendiri saja (boleh),” katanya lagi.
Untuk rekod, Anwar pernah menghabiskan hampir satu dekad di penjara selepas didapati bersalah dalam kes liwat dan tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya pada tahun 1998 dan sekali lagi pada tahun 2014.
Dia sentiasa menegaskan dirinya tidak bersalah dan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik.
Anwar menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan pada PRU14.
Anwar ketika menjadi presiden Abim juga pernah ditahan tanpa bicara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
Anwar ditahan selama selama tiga tahun dari 1974 ke 1976 kerana didakwa terlibat demonstrasi mahasiswa Universiti Malaya yang menyuarakan isu kemiskinan petani di Baling, Kedah.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/579110