ENAM orang anggota polis ditahan sewaktu sedang berkaraoke di sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen di Bunut Payong pada hari khamis minggu lalu.
Berdasarkan laporan Kosmo, keenam-enam anggota polis yang bertugas di IPD Kota Bharu itu menjadi pelanggan dan ditahan di dalam premis berkenaan ketika serbuan pada jam 11.30 malam.
Kosmo yang memetik sumber melaporkan, sewaktu serbuan dijalankan dua anggota polis berada di ruang tamu premis itu manakala empat lagi sedang berkaraoke di dalam sebuah bilik.
Enam anggota polis yang berusia antara 20 hingga 27 tahun itu ditahan bersama pemilik premis yang berusia 25 tahun.
“Empat orang yang ditahan merupakan anggota polis cawangan pengiring, seorang dari cawangan trafik, dan seorang lagi dari cawangan pengangkutan IPD Kota Bharu,”
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen. Peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu juga dirampas,” katanya.
Menurutnya aktiviti pusat hiburan seperti itu merupakan satu kesalahan di Kelantan kerana kerajaan negeri melarang aktiviti seumpama itu.
Penglibatan anggota polis berkenaan menjadi pengunjung pusat karaoke boleh menjatuhkan imej PDRM, sebagai agensi yang bertindak menguatkuasakan undang-undang tempat liburan.
“Mereka sepatutnya memberi nasihat dan tidak terlibat dalam menghidupkan aktiviti karaoke di daerah Kota Bharu,”
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998,” katanya.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan penahanan enam anggota polis terbabit.
Menurutnya kes itu akan disiasat oleh jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kelantan (JIPS).
Sumber — https://www.milosuam.net/2020/11/enam-anggota-polis-ditahan-sedang.html#ixzz6ese2bfvS