Sekurang-kurangnya 40 kakitangan editorial akhbar The Star adalah antara 100 kakitangannya yang diberhentikan semalam, dalam usaha syarikat itu mengecilkan saiz operasinya.
Langkah ini merupakan pengurangan kakitangan kali keempat dalam tempoh tujuh tahun lalu berikutan penawaran skim pemisahan sukarela (VSS), skim pemisahan bersama (MSS) dan tawaran persaraan awal (ERO) yang dilaksanakan pada tahun 2013, 2017 dan 2018.
“Walaupun kakitangan sebelum ini diberi pilihan, tetapi kali ini tidak ada pilihan,” kata sumber The Star kepada Malaysiakini.
Difahamkan, syarikat itu terpaksa memberhentikan kakitangannya setelah permohonan MSS kurang menggalakkan pada pertengahan tahun ini.
“Kakitangan tidak berpuas hati dan kecewa dengan kepemimpinan pengerusi Fu Ah Kiow, terutama membabitkan projek haiwan peliharaan ‘dim sum’ yang menelan jutaan ringgit tetapi masih diteruskan,” kata sumber itu.
Pada suku ketiga tahun ini, The Star Media Group mencatatkan keuntungan bersih RM26.9 juta, menyebabkan kakitangannya percaya pemberhentian kerja mungkin ditangguhkan.
Namun difahamkan keuntungan itu disebabkan pemberian ganti rugi sebanyak RM50.5 juta oleh Jaks Resources Berhad dalam kes di mahkamah.
‘Kemungkinan berlaku diskriminasi’
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Halim Mansor berkata dia kecewa mendengar berita pemberhentian tersebut dan menggesa syarikat itu mempertimbangkan alternatif lain seperti pemotongan gaji.
Katanya, MTUC menerima laporan bahawa terdapat diskriminasi dalam proses pemberhentian tersebut dilakukan.
Halim berkata, kerajaan harus mengambil langkah untuk mencegah syarikat daripada memberhentikan kakitangan pada masa ini.
“Apabila syarikat mengambil pekerja, ia mengambil jalan keluar yang mudah. Kerajaan harus menghentikan syarikat daripada memberhentikan kakitangan dalam tempoh ini.
“Kakitangan dilihat menjadi mangsa pengurusan yang teruk. Saya amat bimbang dengan kakitangan yang lebih senior yang akan bergelut untuk mencari pekerjaan baru, ” katanya.
Kekuatan syarikat yang dianggarkan mempunyai hampir 2,000 tenaga kerja pada era kegemilangannya sekitar tahun 2013 kini dipercayai berkurangan kepada 1,000 orang selepas pendekatan baru diambil.
Dalam pada itu, pejabat Fu enggan memberikan komen dan usaha untuk mendapatkan respons daripada bekas ketua pegawai eksekutif The Star, Wong Chun Wai juga tidak berjaya.
Wong juga dipercayai akan meninggalkan syarikat itu pada bulan ini apabila kontraknya sebagai penasihat kumpulan tamat.
Sumber itu juga mengatakan bahawa Pegawai Eksekutif Kandungan The Star, Rozaid Abdul Rahman akan berpindah ke Sinar Harian sebagai ketua pengarang bagi menggantikan tempat Allahyarham, Baharom Mahusin.
Perkembangan terbaru ini menunjukkan industri media terus mengalami kemalapan.
Pada April, Blu Inc Media, yang bertanggungjawab untuk 19 penerbitan termasuk Cleo, Female, Her World, Harper’s Bazaar, Jelita dan Marie Claire, menghentikan operasi yang menyebabkan kira-kira 180 kakitangannya kehilangan pekerjaan.
The Edge Financial Daily juga pada 21 April mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan penerbitan akhbar hariannya setelah 13 tahun beroperasi.
Pada Okt tahun lalu, Utusan Malaysia, yang merupakan akhbar Melayu pertama di negara secara rasmi menghentikan operasi selepas 80 tahun diterbitkan.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553606