Gempar !!! Hati-hati, Varian Delta sudah ada di Kelantan

Jangkitan Covid-19 melibatkan varian Delta dikesan di negeri ini pada 23 Julai lalu selepas menjangkiti seorang wanita di Pasir Puteh.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, sebelum ini wanita berkenaan sudah dijangkiti Covid-19.

“Apa yang berlaku ke atas wanita berkenaan disifatkan sebagai jangkitan semula dan dikesan sebagai kes sporadik,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Menurutnya, kadar jangkitan varian Delta yang cepat merebak tidak boleh diambil mudah oleh penduduk di negeri ini.

Dr Izani menasihatkan orang ramai supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kekal melakukan kuarantin kendiri dengan tidak keluar rumah tanpa tujuan yang munasabah.

“Varian ini sudah mengalami mutasi dan kesannya sangat bahaya kerana boleh menyebabkan risiko kematian yang tinggi jika terkena pada seseorang individu,” katanya.

Sinar Harian pada 17 Julai lalu melaporkan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan tiada jangkitan Covid-19 melibatkan varian Delta direkodkan di negeri ini sehingga Sabtu.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/151805/KHAS/Covid-19/Covid-19-Varian-Delta-sudah-ada-di-Kelantan