Walaupun sudah berusia 95 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat tidak berdiam diri susulan dakwaan Anwar Ibrahim mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin sekali gus menjadi Perdana Menteri.
Mahathir dikatakan pada masa ini cuba merancang untuk menghalang Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan untuk menjadi Perdana Menteri.
Sumber memberitahu, Mahathir telah berkomplot dengan Muhyiddin dalam satu pertemuan pada 12 Oktober lalu, dan mencadangkan agar Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
Mengikut apa yang dimaklumkan, Anwar merancang untuk menamakan Tengku Razaleigh atau Ku Li sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen Umno.
Bagaimanapun kata sumber, Mahathir dalam pertemuannya bersama Muhyiddin mencadangkan agar Ku Li dicalonkan sebagai PM supaya Umno boleh membatalkan sokongan mereka terhadap Anwar.
“Tun M bertemu Muhyiddin pada 12 Oktober 2020 supaya satu rancangan menghalang Anwar dari menjadi PM dapat dilakukan. Tun M nak sailang rancangan Anwar. Tun M juga mencadangkan agar Ku Li dicalonkan sebagai PM.
“(Sekiranya Ku Li sebagai PM), ahli-ahli Parlimen Umno akan menarik sokongan terhadap Anwar.
“Bersatu pula akan kehilangan jawatan Perdana Menteri tetapi masih memegang jawatan sebagai Menteri Kanan dan beberapa jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Tambahnya lagi, mengikut percaturan itu, Mahathir menjangkakan tidak akan banyak kerenah dari Pas oleh kerana parti itu akan terus menyokong asalkan mereka masih sebahagian dari Kabinet.
Pada masa sama, Mahathir yakin GPS akan bertindak ‘play safe’ dengan menyokong sesiapa sahaja yang mentadbir kerajaan Persekutuan, selain memberi jaminan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan enam ahli Parlimennya akan menyokong Ku Li sebagai PM, kata sumber itu.
“Apa yang menjadi persoalan, adakah Ku Li akan bersetuju menerima jawatan sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau tidak tamak dan tidak bercita-cita besar,” ujarnya.
Sumber juga mendakwa langkah Anwar ketika ini adalah untuk menyampaikan mesej kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Muhyiddin dan menyiasat sekiranya benar Presiden Bersatu itu mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.