Gempar !!! Pegawai SPRM diberkas kerana ambil rasuah RM100,000

Gempar !!! Pegawai SPRM diberkas kerana ambil rasuah RM100,000

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah antara dua individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM100,000, pada 14 April lalu.

Tertuduh, Shahrul Izuan Mohd. Zain, 41, dan Teoh Peng Sin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan SPRM, Shahrul Izuan yang bertugas di pejabat SPRM Putrajaya didakwa bersubahat dengan Peng Sin dengan menerima rasuah wang tunai sejumlah RM100,000 daripada Tan Chee Sheng sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) SPRM terhadap Chee Sheng.

Sementara itu, Peng Sin pula didakwa menerima rasuah wang tunai RM100,000 daripada Chee Sheng sebagai dorongan atas perbuatan yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai kopi dalam sebuah pusat beli-belah di Sepang pada 14 April lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Shahrul Izuan pula didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(c) dan turut dibaca dengan seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.

Kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan pilihan yang masing-masing dibacakan ke atas mereka.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh selain melapor diri pada setiap minggu pertama di pejabat SPRM terdekat serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh dan mengarahkan Shahrul Izuan melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan Peng Sin di Johor Bahru.

Pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh juga diarah untuk diserahkan kepada mahkamah. Bagi pasport Peng Sin, ia perlu diserahkan pada atau sebelum 29 Jun ini.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai ini.

SPRM turut mengesahkan, pegawai itu sebelum ini pernah ditahan polis membabitkan kes mengikut Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Bagaimanapun pertuduhan pada hari ini katanya, tiada kaitan dengan kes tersebut.

“Ingin ditegaskan, SPRM tidak akan berkompromi dengan salah laku jenayah atau apa-apa pelanggaran undang-undang oleh pegawai kami dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melakukan perkara itu,” jelasnya.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pegawai-sprm-dituduh-terima-rasuah-sebagai-dorongan-tidak-ambil-tindakan-303243

COMMENTS