Sebuah pesawat pengintip prototaip Israel dilaporkan telah melalui ruang udara negara sebelum mendarat di Singapura.
Pesawat Boeing 737-400 yang bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta itu sedang menjalankan ujian penerbangan selama 4 jam, lapor Airtimes.
Pesawat yang pernah digunakan bagi mengesan dan menjejak kapal yang menghantar senjata ke Palestin itu digunakan sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik.
Menurut Airtimes, pesawat yang telah berlepas dari Israel dan melalui ruang udara Tebing Barat pada 18 Mei lalu itu terbang pada ketinggian 19,000 kaki di ruang udara Singapura sebelum mendarat di Pangkalan Udara Paya Lebar.
Pada 20 Mei, pesawat itu telah tiba di utara Selat Melaka pada pukul 6 pagi waktu Malaysia seterusnya melalui ruang udara Kuala Lumpur pada ketinggian 28,975 kaki 17 minit kemudian.
Isyarat 4X-AOO kemudiannya hilang daripada Flightradar24 setelah memasuki kawasan luar pesisir Melaka pada pukul 11.30 pagi.
Mengulas kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel itu, penganalisis pertahanan Zaki Salleh berkata, pesawat tersebut mungkin sedang melakukan ujian sistem terbaharu dan penerbangan jarak jauh yang dilaksanakan adalah bagi melihat keberkesanan perkakas yang diuji.
“Ia direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial,” lapor Sinar Harian.
sumber : https://malaysiadateline.com/pesawat-pengintip-israel-ceroboh-ruang-udara-negara-apa-pendirian-kerajaan-pn/