Sebuah badan bukan kerajaan berkata, ratusan pekerja asing terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sementara menunggu Jabatan Imigresen memproses permohonan mereka untuk pulang ke negara asal.
Ahli Persatuan Sikh Malaysia, Ravina Chahal berkata, kira-kira 1,000 pek makanan diagihkan setiap hari sejak 15 Julai lalu, tetapi kumpulan itu semakin besar dengan ramai daripada mereka tiada makanan.
“Mereka diminta datang enam jam sebelum penerbangan untuk menjalani ujian Covid-19 dan menaiki pesawat selepas itu tetapi kebanyakannya terlepas penerbangan mereka,” katanya kepada FMT.
Katanya, majoriti warga asing itu adalah pekerja tanpa dokumen, dipaksa menjalani semula ujian saringan Covid-19 dengan kos RM200 dan membeli tiket penerbangan baharu, yang berharga antara RM1,000 hingga RM1,200 untuk pulang ke India.
Chahal berkata, sesetengahnya kehabisan wang dan makanan serta merayu ahli keluarga di India untuk membantu mereka membeli tiket penerbangan baharu.
“Kebanyakan mereka pekerja kilang. Tiada lagi pekerjaan untuk mereka di sini, jadi mereka akan pulang di bawah Program Rekalibrasi kerajaan.”
Disebabkan semakin ramai pekerja asing yang berkumpul, katanya, ia semakin sukar untuk mematuhi penjarakan fizikal dan meningkatkan risiko mencetuskan kluster Covid-19 di lapangan terbang.
“SOP sukar dipatuhi kerana kumpulan itu semakin ramai.”
Chahal berkata, sesetengahnya disahkan positif dan dikuarantin segera oleh pihak berkuasa imigresen.
“Ada yang menunggu selama dua hari.”
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata, setakat semalam, 101,691 pendatang tanpa dokumen berdaftar di bawah Program Rekalibrasi dan 83,117 sudah meninggalkan Malaysia.
Katanya, kaunter khas di KLIA mendapat sambutan sangat menggalakkan dan ramai yang terlepas penerbangan kerana “mereka datang lewat” dan menunggu penerbangan seterusnya.
Disebabkan itu, beberapa langkah dilaksanakan termasuk menambah 20 lagi kaunter untuk menampung sekurang-kurangnya 850 hingga 1,000 warga asing pada satu-satu masa.
Langkah lain ialah membenarkan sebahagian daripada mereka berlepas dari klia2 yang boleh memproses dokumen 500 warga asing pada satu-satu masa.
Khairul berkata, mereka juga akan membuka kaunter khas di Johor untuk membenarkan pekerja tanpa dokumen dari Indonesia pulang ke negara itu.
“Kami boleh mula melakukannya menjelang minggu depan.”
Pada 8 Julai lalu Khairul dilaporkan berkata, Jabatan Imigresen menubuhkan kaunter khas di KLIA untuk mempercepatkan Program Rekalibrasi.
Kaunter di tingkat 3 balai ketibaan itu dibuka sejak awal bulan ini.
Untuk mengambil bahagian dalam program itu, pekerja asing dikehendaki menunjukkan bukti dokumen perjalanan yang diluluskan kedutaan berkaitan, tiket penerbangan pulang ke negara asal dan membayar kompaun RM500 menggunakan kad debit, kad kredit atau e-dompet Touch ‘n Go mereka.
Mereka juga perlu mendapatkan keputusan ujian saringan RT-PCR yang sah untuk 72 jam sebelum waktu penerbangan.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/21/ratusan-pekerja-tanpa-dokumen-mahu-pulang-tapi-terkandas-di-klia/