Gempar !!! Syarikat pembuat vaksin akui keberkesanan produknya semakin berkurang

Moderna Inc mengakui keberkesanan vaksin Covid-19 keluarannya – Moderna – dalam mencegah jangkitan Covid-19 dan kemasukan ke hospital semakin menurun dari semasa ke semasa, sekali gus syarikat itu menyokong pemberian dos penggalak.

Syarikat itu dalam kenyataan pada Rabu berkata data baharu mengenai tahap keberkesanan itu ditemui hasil kajian besar-besaran yang dilakukan sepanjang Julai hingga Ogos lalu.

“Ini hanya satu anggaran, tetapi kami yakin… ini bermakna ketika anda melihat musim luruh dan musim sejuk, kami menjangkakan sekurang-kurangnya anggaran kesan imuniti yang merosot adalah 600,000 kes,” kata Presiden Moderna Stephen Hoge dalam sidang maya bersama pelabur.

Hoge tidak menjelaskan jumlah jangkitan teruk akan berlaku, tetapi berkata sesetengahnya memerlukan rawatan hospital.

Penemuan terbaharu itu bertentangan dengan data daripada beberapa kajian yang dilakukan baru-baru ini yang menunjukkan bahawa vaksin Moderna memberi perlindungan lebih lama daripada Pfizer Inc (PFE.N) dan BioNTech SE.

Pakar berkata perbezaan Moderna dengan Pfizer-BioNTech kemungkinan disebabkan dos tinggi mRNA Moderna dan selang waktu suntikan pertama dan kedua yang lebih lama.

Ketika kajian tahap tiga yang dilakukan secara besar-besaran sebelum ini, kedua-dua vaksin terbukti sangat berkesan untuk mencegah penyakit.

Kajian itu dijalankan pada Julai hingga Ogos lalu, ketika varian Delta menjadi dominan, menunjukkan kadar jangkitan yang tinggi dalam kalangan individu yang menerima suntikan vaksin Moderna 13 bulan lalu berbanding yang menerimanya lapan bulan lalu.

Pada 1 September lalu, syarikat itu mengemukakan permohonan kepada Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan vaksin Moderna sebagai dos penggalak.

Hoge berkata data daripada kajian penggalak menunjukkan vaksin itu mampu meningkatkan peneutralan antibodi ke tahap yang lebih tinggi daripada yang dilihat setelah suntikan dos kedua.

“Kami percaya ini (suntikan penggalak) akan mengurangkan kes Covid-19. Kami juga percaya dos ketiga mRNA-1273 mempunyai peluang untuk meningkatkan kekebalan secara signifikan sepanjang tahun depan ketika kita berusaha untuk menamatkan pandemik tersebut,” katanya.

Dokumen taklimat dari analisis FDA terhadap permohonan Pfizer untuk penggunaan dos penggalak, yang dikeluarkan sebelumnya, menunjukkan bahawa isu utama yang akan dipertimbangkan oleh agensi ini ialah apakah perlindungan vaksin semakin lemah.

Dalam tempoh dua bulan dari Julai hingga Ogos, penyelidik mengenal pasti 88 kes Covid-19 dalam kalangan mereka yang telah menerima dua suntikan baru-baru ini, berbanding dengan 162 kes dalam kalangan mereka yang divaksin tahun lalu.

Secara keseluruhan, hanya 19 kes yang dianggap teruk, penanda aras utama dalam menilai tahap perlindungan yang merosot.

Bagaimanapun, data dalam satu kajian berasingan oleh sistem kesihatan, Kaiser Permanente Southern California, yang juga dibentangkan pada Rabu, menunjukkan vaksin Moderna memberi perlindungan terhadap varian Delta.

Penyelidik membandingkan data lebih 352,000 individu yang menerima dua dos vaksin Moderna dengan jumlah sama individu yang tidak disuntik vaksin, dan mendapati tahap keberkesanan vaksin Moderna dalam mencegah jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 87 peratus, dan 96 peratus lagi mencegah kemasukan ke hospita.

Hoge mengatakan prestasi awal vaksin itu adalah kuat tetapi berpendapat bahawa tahap perlindungan tidak boleh dibiarkan berkurang.

“Enam bulan pertama sangat bagus, tetapi anda tidak boleh mengandaikan bahawa ia akan stabil hingga setahun dan seterusnya,” katanya. – Agensi