Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata dia tidak nampak Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin menunjukkan isyarat lucah di Dewan Rakyat semalam.
Ketika ditanya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung tindakan mengenai perkara itu pagi ini, Azhar berkata dia belum membuat keputusan kerana tidak melihat insiden berkenaan.
“Sebenarnya saya belum membuat apa-apa ruling semalam sebab saya kurang pasti apa yang terjadi sebab saya ada masalah penglihatan minggu ini.
“Setelah mendengar penjelasan beliau itu, malam tadi saya minta penjelasan selanjutnya daripada timbalan menteri (Willie), beliau menafikan sekeras-kerasnya membuat perkara begitu.
“Kemudian saya telah melihat video yang tertular itu banyak kali malah secara slow motion (gerak perlahan) pun saya tengok, saya tak dapat pastikan sama ada ia dia benar-benar berlaku atau tidak.
“Keputusan saya ialah saya tidak dapat pastikan sama ada perkara tersebut berlaku (ataupun tidak),” katanya di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Mongin menunjukkan jari tengah ketika sidang yang turut dipengerusikan Azhar semalam.
Willie bagaimanapun menafikannya.
Ekoran itu, Azhar meminta sesiapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang didakwa dilakukan Willie itu untuk memfailkan usul kepada jawatankuasa parlimen supaya Willie dapat memberikan penjelasannya.
Ketika ada wakil yang meminta rakaman kamera litar tertutup ditayangkan, kata Azhar, dia sendiri sudah melihat rakaman itu tetapi masih tidak dapat memastikannya.
“Saya dah tengok CCTV itu sendiri, dia (rakaman) dari belakang sana. Saya tak nampak, saya memang tak nampak. Saya tak dapat pastikan”.
Khoo kemudian meminta izin untuk ke pejabat Azhar untuk menunjukkan video yang “amat terang” berkenaan insiden yang didakwa itu.
“Selepas sidang ini, silakan datang ke pejabat saya,” alu Azhar kepada Khoo.
Sementara itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) memaklumkan Dewan Rakyat bahawa dia telah memfailkan satu usul untuk merujuk Shahbudin Yahya (BN-Tasek Gelugor) kepada
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung insiden silap kira undian belah bahagi kelmarin.
Kata Azhar, dia telah menerima usul itu dan akan meminta nasihat perundangan sebelum membuat keputusan.
Shahbudin tersilap menandakan Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) sebagai menyokong Rang Undang-undang Perbekalan Kementerian Kewangan, meskipun Nazri tidak hadir semasa undian belah bahagi itu.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553434