Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara sinis mengaitkan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan langkah gencatan politik.
Menteri Besar Perak itu berkata, langkah gencatan politik yang diumum Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam wajar disambut baik oleh semua pemimpin politik.
“Ini fokus saya kira semua pemimpin patut sambut baik (gencatan politik) dan saya harap tidak ada lagi pemimpin yang mendakwa itu dan ini serta mengambil masa Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap ingin tubuh kerajaan dan sebagainya,” sindirnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu, semua pihak pada masa ini perlu memberi fokus kepada perkhidmatan yang baik kepada rakyat tanpa mengambil kira latar belakang parti.
“Tidak kira walau apa juga kapasiti, sama ada pembangkang atau pemimpin kerajaan, masing-masing ada peranan untuk rakyat.
“Saya kira rakyat menyambut baik apa juga usaha gencatan politik ini. Rakyat mahu pemimpin berhenti berpolitik, memberi fokus kepada usaha yang berterusan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya hari ini dipetik Berita Harian.
Walau bagaimanapun, dia berkata, politik akan kembali apabila Muhyiddin menghadap Agong seterusnya Parlimen dibubarkan.
“‘Politik’ apabila tiba masanya saya percaya Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan kalau dibubarkan Parlimen dan sebagainya, maka berpolitiklah balik,” katanya.