Geng Topeng buat ‘kerja gila’ lagi bagi ikan percuma kepada orang ramai

Pada awal Mei, sekumpulan lelaki bertopeng mencuri perhatian netizen apabila mereka memberi ayam mentah secara percuma kepada orang ramai di Bukit Bintang.

Terbaru, geng bertopeng yang sama kembali lagi, kali ini dengan memberikan ikan Siakap percuma kepada penduduk sekitar Taman Medan.

Menerusi video berdurasi hampir satu minit yang dikongsi di media sosial, pelbagai lapisan umur kelihatan beratur untuk mendapatkan ikan Siakap yang diagihkan daripada belakang trak pikap milik @xyzteamproject.

Selain mengagihkan ikan, geng bertopeng itu juga dilihat memborong makanan daripada peniaga gerai jalanan berhampiran dan memberikan makanan tersebut kepada orang awam yang lalu-lalang di kawasan itu.

Keikhlasan mereka mendapat pujian dan sokongan daripada netizen. “Ikan itu tidaklah mahal mana pun, tapi bila orang yang menerima ikan senyum buat kita rasa terharu sangat. Steady bro teruskan berdekah. Semoga Allah S.W.T permudahkan segala urusan semua,” komen seorang netizen yang kagum dengan usaha mereka.

Orang ramai mendoakan kebaikan buat geng bertopeng itu dan berharap agar mereka dapat meneruskan kerja-kerja kebajikan membantu pihak yang memerlukan. Sebelum ini, geng bertopeng menegaskan mereka adalah beragama Islam dan memberi bantuan ikhlas tanpa mengharap sebarang balasan.

Tindakan mereka tidak hanya menarik perhatian tetapi juga menginspirasikan orang lain untuk turut serta dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

Usaha ini menunjukkan kepentingan sikap saling membantu dalam masyarakat dan bagaimana tindakan kecil dapat memberi impak besar kepada komuniti.

Baca; 5 Adun Bersatu Selangor akan sokong kerajaan perpaduan?