Genting HK: Ubah ke KWSP Shariah, elak wang dilabur ke kaunter tidak halal

Umat Islam yang bimbang wang mereka digunakan untuk melabur dalam institusi yang tidak halal dicadangkan supaya mengubah kaunter KWSP mereka kepada KWSP Simpanan Shariah.

Menurut Dr Zaharudin Abd Rahman, 84.9 peratus pencarum Muslim masih dalam KWSP Konvensional.

“Ramai orang tag saya berkenaan pinjaman beberapa bank konvensional yang dikaitkan dengan pegangan oleh beberapa institusi besar.

“Jawab saya begini, KERANA itulah WAJIB umat Islam tukar ke KWSP Simpanan Shariah kerana duit pelaburan dari KWSP Simpanan Shariah TIADA yang dilabur ke bank-bank Konvensional.

“Hanya duit pencarum simpanan konvensional yang support bank konvensional dan berikannya pinjaman ke Genting HK.

“Adapun berkenaan dua institusi lain itu, saya tiada info dan sila rujuk kepada pihak mereka,” kata Dr Zaharudin.

Malangnya, kata beliau, mengikut data, lebih 84.5% pencarum Muslim di KWSP masih duduk dalam KWSP konvensional.. “secara tak langsung sokong bank konvensional melalui pegangan majoritinya dan termasuklah pinjaman-pinjaman itu.”

Justeru, katanya, mereka yang bising di media sosial sahaja tidak guna jika diri masih duduk dalam simpanan konvensional.
“Mulakan dengan apa yang dalam kuasa terdekat kita. Penukaran ke akaun Shariah boleh dibuat menerusi i-akaun secara online sahaja,” kata beliau.

Umat Islam terkejut apabila wang yang dicarumkan ke dalam akaun KWSP digunakan untuk membeli saham bank-bank yang kemudiannya melabur dalam industri judi.

Baru-baru ini, media melaporkan, syarikat perjudian kapal pesisir, Genting Hong Hong ditutup selepas bangkrap.

Tiga buah bank Malaysia sedang menghadapi masalah apabila pelaburan mereka dalam syarikat perjudian itu dibuat tanpa jaminan.