Gila! Beri bayi 2 bulan bubur segera untuk tarik ‘gift’ Tiktok, raih hingga RM15,000

Pemilik sebuah rumah anak yatim di Medan, Indonesia telah ditahan atas tuduhan mengeksploitasi kanak-kanak, menurut laporan dari laman berita Lambe Turah semalam.

Lelaki tersebut menjadi tular selepas melakukan siaran langsung di laman TikTok sambil memberi makan bubur segera kepada seorang bayi berusia dua bulan pada pukul 1 pagi waktu tempatan.

Ketua Polis Medan, Valentino Alfa Tatareda, mengatakan bahawa suspek yang dikenali sebagai Zamanueli Zabua atau lebih dikenali sebagai ZZ telah ditahan untuk tujuan siasatan lebih lanjut pada Selasa lalu.

“ZZ ditahan kerana bertindak melakukan eksploitasi ekonomi terhadap kanak-kanak untuk kepentingan peribadi.

“ZZ menguruskan rumah anak yatim itu bersama isterinya. Buat masa ini, isterinya sedang disiasat. Rumah anak yatim itu juga tidak mempunyai permit,” katanya.

Menurut Valentino, terdapat 26 kanak-kanak yang dijaga di rumah anak yatim tersebut. Daripada jumlah tersebut, empat adalah bayi, sementara yang lain bersekolah di peringkat rendah dan menengah.

Selepas disoal siasat, ZZ mengakui bahawa rumah anak yatim itu telah beroperasi sejak awal tahun ini. 

“Dalam sebulan saya boleh dapat 20 juta rupiah (RM6,098) hingga 50 juta rupiah (RM15,245). Kanak-kanak ini akan dirakam untuk mendapatkan sumbangan daripada netizen,” katanya.

Baca juga: “Kata gaji lima angka tapi lepas kahwin aku duduk kat bilik office, rupanya suami tipu dalam borang poligami sebab..”